Bukan rezeki kita ke final Piala Sudirman

Aksi Aaron-Wooi Yik semasa perlawanan separuh akhir Piala Sudirman menentang Korea Selatan di Shuzou, China pada Ahad.
Aksi Aaron-Wooi Yik semasa perlawanan separuh akhir Piala Sudirman menentang Korea Selatan di Shuzou, China pada Ahad.
A
A
A

SKUAD badminton Piala Sudirman 2023 memiliki karakter untuk mara ke pentas perlawanan akhir acara berpasukan dunia edisi Shuzou, China kali ini.

Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia berkata, secara keseluruhan itu semangat dan keazaman dimiliki skuad Piala Sudirman walaupun perjalanan disekat Korea Selatan di pentas separuh akhir pada Ahad.

"Biarpun kita berjaya capai sasaran separuh akhir yang ditetapkan sebelum ini, namun sebenarnya saya percaya skuad negara boleh buat lebih baik mara ke perlawanan akhir.

"Tapi kadang-kala kita perlu terima bahawa rezeki tidak berpihak dengan kita biarpun telah memberikan sehabis baik dalam perlawanan.

"Begitupun secara keseluruhan semua pemain telah memberikan aksi terbaik masing-masing malah sentiasa menyalakan semangat perjuangan rakan-rakan," katanya pada Ahad.

Sebelum itu, hasrat skuad negara untuk ke perlawanan akhir buat pertama kali tidak kesampaian selepas tewas 1-3 kepada Korea Selatan dalam perlawanan akhir.

Dalam perlawanan pertama beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tewas kepada Seo Seung Jae-Chae Yu Jung 21-11, 13-21, 7-21.

Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kembali menyalakan harapan apabila menyamakan kedudukan dengan menjinakkan Jeon Hyeok Jin 21-11, 21-9.

Bagaimanapun dalam perlawanan ketiga pemain perseorangan wanita muda negara, K Letshanaa tewas 10-21, 13-21 kepada An Se Young.

Impian skuad negara untuk kembali ke dalam permainan tidak kesampaian apabila Aaron-Soh Wooi Yik tewas kepada Won Ho-Sung Seung 12-21, 11-21.

Dalam pada itu, Wooi Yik memohon maaf kepada rakyat Malaysia khasnya penyokong badminton negara selepas pasangan juara dunia tersebut gagal menyumbang mata buat pasukan.

"Saya minta maaf kepada rakyat Malaysia dan penyokong kerana kami tidak dapat menyumbang mata kepada pasukan negara.

"Kami telah memberikan sehabis baik untuk menang perlawanan ini, namun hari ini sebaliknya yang berlaku.

"Terima kasih kepada penyokong-penyokong yang sentiasa sokong kami selama ini, masih banyak lagi pertandingan yang akan diharungi lagi selepas ini," katanya.

Sebagai rekod, pencapaian separuh akhir Shuzou 2023 ini menyamai edisi Guangzhou 2009 dan 2021 di Vantaa 2021.