Dua lelaki ditahan bersama dadah di R&R

No Image Caption
A
A
A

NIBONG TEBAL - Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah bernilai RM173,900 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap, Jumaat lepas.

Ketua Polis Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafee Abd Samad berkata, kedua-dua lelaki tempatan berusia 23 dan 39 tahun itu ditahan dalam satu operasi kira-kira jam 7.15 malam.

“Pihak polis berjaya merampas heroin seberat 9,142 gram bernilai RM 121,900 dan syabu seberat 1,038 gram bernilai RM52,000 yang disyaki untuk pasaran tempatan.

"Heroin dan syabu yang dirampas boleh digunakan 28,000 orang penagih dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS di sini hari ini.

Shafee berkata, polis turut menyita dua motosikal jenis Yamaha 125Z dan Honda CB650F yang digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah berkenaan.

Katanya, ketika serbuan, suspek berusia 23 tahun didapati membawa muatan dadah di dalam beg pakaian dengan menaiki motosikal Yamaha 125Z dari Perak menuju ke utara, manakala suspek berusia 39 tahun menunggu di lokasi tersebut dengan menunggang motosikal Honda CB650F, disyaki untuk membuat pertukaran dadah.

"Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine. Suspek yang berusia 39 tahun mempunyai lapan kes dadah dan satu kes jenayah curi kenderaan dalam rekod jenayah lampau, manakala suspek yang berusia 23 tahun mempunyai satu kes lampau dadah," katanya.

Shafee berkata, tangkapan berjaya dilakukan daripada hasil risikan sejak bulan Ogos oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD SPS.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama