X

Kindly register in order to view this article
!

Keluarga diraja Johor lawat tiga daerah terjejas banjir

Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke dua PPS di daerah Kluang. -Foto: Facebook The Royal Johor
A
A

JOHOR BAHRU - Keprihatinan keluarga Diraja Johor di atas insiden banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini sejak minggu lalu diterjemahkan melalui beberapa lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir.

Terbaharu, daerah Kluang, Johor Bahru dan Kota Tinggi dipilih sebagai lokasi lawatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris serta Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama isteri, Che Puan Khaleeda Bustaman.

Dalam lawatannya hari ini, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke dua PPS yang dibuka di daerah Kluang antara jam 12 tengah hari hingga 3 petang tadi.

Tiga PPS yang dilawati baginda adalah PPS Sekolah Agama Kampung Tengah 1, Kluang yang menempatkan seramai 311 mangsa, PPS SMK Seri Perdana yang menempatkan 407 mangsa dan PPS Balai Raya Kampung Bentong Dalam.

Permaisuri Johor berkenan berangkat melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Skudai Batu 10 hari ini. -Foto: Facebook The Royal Johor
Permaisuri Johor berkenan berangkat melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Skudai Batu 10 hari ini. -Foto: Facebook The Royal Johor

Terdahulu, Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu turut mempersembahkan taklimat mengenai situasi banjir di daerah berkenaan kepada Sultan Johor.

Sementara itu, di Johor Bahru, Permaisuri Johor berkenan berangkat melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Skudai Batu 10 hari ini.

Difahamkan, PPS berkenaan menempatkan seramai 248 mangsa banjir daripada 71 keluarga dari Kampung Sepakat dan Kampung Laut yang terjejas banjir berikutan rumah dinaiki air lebih satu meter.

ARTIKEL BERKAITAN: Jumlah mangsa banjir di Johor masih tinggi

Sebelum lawatan itu, Permaisuri Johor turut berkenan berangkat ke Pejabat Daerah Pertahanan Awam Johor bagi mendengar taklimat status banjir di seluruh negeri ini.

Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail bersama isterinya turut melawat dua PPS di Kota Tinggi yang mana merupakan antara daerah paling teruk terjejas banjir.

Dua PPS sempat dilawati Tunku Ismail dan isterinya adalah di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Lintang dan Dewan Kampung Baru Sungai Mas yang mana kedua-duanya sudah ditutup setakat jam 6 petang tadi.

Semalam, Sultan Ibrahim telah memaklumkan pihaknya akan mulai turun menjelajah ke seluruh daerah terbabit banjir bermula hari ini bagi melihat perkembangan semasa bencana alam berkenaan.

Titahnya, Keluarga Diraja Johor juga akan mengadakan pertemuan dan mesyuarat bersama wakil kerajaan negeri, polis dan pasukan bomba bagi membincangkan perihal kesemua lawatan itu.