'Pulanglah, ibu nak jumpa Erni sebelum tunai umrah esok'

Erni Natasha Zulkifli: Foto: Ihsan keluarga
Erni Natasha Zulkifli: Foto: Ihsan keluarga
A
A
A

IPOH - Seorang ibu buntu apabila usaha untuk mencari anak perempuannya yang hilang sejak 25 November lalu masih belum ditemui.

Erni Natasha Zulkifli, 18, dipercayai keluar dari rumahnya di Lorong 2/2, Kampung Tanjong, Kampung Kepayang, Simpang Pulai di sini, sehelai sepinggang tanpa membawa kad pengenalan kecuali telefon bimbit.

Zalina Idris, 51, berkata, kesemua ahli keluarga bimbang dengan keselamatan anak keenam daripada tujuh beradik itu dan usaha mencari dilakukan di merata-rata tempat.

“Kami tidak tahu punca sebenar Erni menghilang dan ke mana dia pergi. Sebelum kejadian, dia dalam keadaan biasa malah tiada konflik antara kami. Bila bangun pagi, dia sudah tiada.

“Dia sangat pendiam dan jarang sekali keluar rumah melainkan keluar dengan ahli keluarga sahaja. Dia tidak bekerja selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, usaha pencarian yang dilakukan telah menyebabkan suaminya, Zulkifli Hasan, yang merupakan pencari rezeki tunggal keluarga dibuang kerja.

“Suami bekerja sebagai buruh kuari dan bila dia selalu tidak datang kerja kerana mencari anak, akhirnya dia dibuang kerja.

“Kami kini fokuskan untuk mencari dia sahaja. Telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi sehingga kini malah akaun Facebooknya juga tidak aktif,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Zalina berkata, dia mahu berjumpa kembali dengan anaknya itu sebelum berangkat ke Tanah Suci esok bagi menunaikan umrah.

“Saya berharap sebelum saya pergi umrah, saya dapat bertemu dengannya tetapi, mungkin tiada harapan kerana saya perlu bergerak pada jam 8 pagi.

“Saya harap orang ramai dapat membantu kami mengesan Erni atau hubungi balai polis berhampiran sekiranya terjumpa atau mempunyai maklumat mengenainya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz mengesahkan menerima laporan kehilangan remaja itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya itu agar menghubungi Zulkifli di talian 017-5119221 atau anaknya, Nur Adira 012-5361503.