'Saya rancang nak jumpa PM sebelum Ramadan' - Nik Abduh

Nik Abduh ketika ditemui selepas menunaikan solat Asar di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka, Kota Bharu pada Sabtu.
Nik Abduh ketika ditemui selepas menunaikan solat Asar di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - "Saya rancang nak jumpa Perdana Menteri sebelum Ramadan lagi," demikian tegas bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ketika diminta mengulas mengenai pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Jumaat.

Nik Mohamad Abduh atau Nik Abduh berkata, pertemuan itu hanyalah perjumpaan biasa yang tidak mempunyai hubung kait dengan politik.

"Masa jadi ahli Parlimen saya selalu jumpa dengan beliau (Anwar). Jadi bila beliau dah jadi Perdana Menteri saya tidak lagi berjumpa denganya.

"Jadi saya minta melalui kenalan untuk jumpa. Lama dah minta, belum puasa lagi...cuma tidak dapat kerana beliau sibuk," katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Asar di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, pertemuan itu menjadi kenyataan apabila Perdana Menteri hadir ke Rumah Terbuka Malaysia Madani di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Ujarnya, beliau diberi masa untuk bertemu dengan Anwar selepas selesai menunaikan solat Maghrib.

Nik Abduh memberitahu, beliau bertuah dapat bertemu dengan Anwar selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Pada pertemuan itu, saya ucap tahniah kepada beliau dan mendoakan semoga Datuk Seri dapat jalankan tugas dengan baik sebagai Perdana Menteri.

"Saya turut membawa amanah daripada orang untuk disampaikan kepada Perdana Menteri. Soal politik tiada," katanya.

Menurut Nik Abduh pertemuan dengan abangnya, Nik Omar semasa berjumpa dengan Perdana Menteri adalah secara kebetulan.

"Abang saya datang dari Kuala Lumpur dan kami bertemu di situ. Dia (Nik Omar) datang nak jumpa Perdana Menteri.

"Saya sudah jangka gambar pertemuan itu akan tular kerana ramai yang mengambilnya (merakam). Jadi saya tidak berminat dengan viral sebab itu enggan memberikan sebarang komen," katanya.