China peneraju teknologi terkini

A
A
A

CHINA lama dikenali sebuah negara yang bergantung kepada barangan buatan tiruan daripada inovasi negara lain untuk pertumbuhan ekonomi. Bukti menunjukkan jurutera China menciplak idea terbaik ketika bekerja dengan syarikat multinasional di negara maju. China juga sering dituduh tidak menghormati undang-undang harta intelek.

Namun, pada 1978, China memutuskan untuk membuka pintu kepada kuasa asing memasuki negara itu. Hasilnya jelas terbukti. South China Morning Post baru-baru ini melaporkan China telah berganjak daripada ekonomi penanaman buluh atau bambu kepada peneraju ekonomi kuasa besar bidang industri smartphone-wallet shoppers dalam masa singkat daripada negara maju yang mengambil tempoh antara 200 dan 700 tahun.

Hari ini, China ialah pengeluar terbesar kenderaan elektrik (EV), selain menjadi peneraju teknologi bateri lithium-ion yang menggerakkan EV, telefon pintar dan peranti mudah alih lain. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China bergerak pada 10 peratus setiap tahun dalam tempoh lebih 40 tahun lalu iaitu tiga kali ganda kadar KDNK Amerika Syarikat dalam tempoh sama.

KDNK per kapita China meningkat daripada AS$156 atau RM650 pada 1978 kepada AS$10,098 atau RM42,027 pada 2019 iaitu peningkatan 52 kali ganda sekali gus menyelesaikan kemelut kemiskinan lebih 800 juta penduduknya.

Sebagai pengeluar, pengeksport dan pemegang rizab pertukaran asing terbesar, China hari ini ialah kuasa pembeli tertinggi di dunia. China juga menerima pelaburan program Pelaburan Dasar Luar Langsung (FDI) tertinggi iaitu sekitar AS$1 bilion atau RM4.2 bilion pada 2000. Angka ini meningkat kepada AS$170 bilion atau RM708 bilion pada akhir Oktober 2019 mengikut laporan Unit Perisikan Ekonomi (EIU) Invesco Limited.

The Asia-Pacific Diplomat pula melaporkan China akan menjadi kuasa besar dalam pembangunan teknologi terkini dan masa depan. Antara teknologi tinggi berinovasi itu ialah sumber tenaga baharu, super komputer, telekomunikasi generasi lima (5G), artifical intelligence (AI), automasi dan robotik, teknologi angkasa, e-dagang dan data statistik.

Aktiviti e-dagang di China melebihi daripada mana-mana negara di dunia iaitu 42 peratus keseluruhan di peringkat global. Dalam erti kata ringkas, transaksi itu adalah 11 kali lebih banyak daripada pembayaran mudah alih di AS.

Timbul persoalan di benak pemikiran penulis kenapa China mampu menjadi kuasa besar nombor satu dalam masa yang sangat singkat. Penulis percaya tindakan kerajaan China membeli ramai jurutera dan teknologis yang pernah bekerja di negara maju untuk kembali pulang menabur bakti di negara sendiri ialah satu strategi terbaik.

Artikel Berkaitan:

Faktor utama lain kenapa China mampu menggerakkan ekonomi berasaskan pembangunan produk berteknologi tinggi ialah kerana kepintaran dan keupayaan juruteranya meniru (replicate), mendua (duplicate), mampu improvisasi (improvise) dan meningkatkan (enhance) produk atau sistem kepada sesuatu yang cekap atau lebih banyak fungsi.Belajar

Penulis percaya ada yang kita mesti belajar daripada China. Antaranya bentuk landskap gunung-ganang bernama Gunung Pelangi di Zhangye-Danzia yang berwarna-warni dan unik.

Mungkinkah ini yang disebut ALLAH SWT dalam Surah Fathir [35:27] yang bermaksud: “Tidakkah kamu melihat bahawasanya ALLAH menurunkan hujan dari langit lalu Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. Dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat.”

Kira-kira enam juta tahun lalu, Zhangye-Danxia ialah lautan. Akibat hujan dan kemarau bersilih ganti serta berlaku beberapa kali letusan gunung berapi dari dasar laut mengeluarkan isi bumi mengandungi kalsium, besi, tembaga dan bahan-bahan logam lain menyebabkan paras dasar laut meningkat dan paras air laut menurun menyebabkan kelihatan permukaan bumi Zhangye-Danxia yang beralun serta berwarna-warni sebagaimana yang kita lihat sekarang. Pasti ada sesuatu yang tersirat di sebalik kejadian tersebut.

Kesimpulan, tiada salah sekiranya Malaysia perlu meniru kemajuan dan kejayaan China. Jelas kelihatan sekarang betapa China umpama seekor naga besar yang mampu menelan apa sahaja yang ada di depannya. China ialah sebuah negara yang tidak mampu ditandingi sesiapapun ketika ini. Justeru, apa salahnya jika rakyat Malaysia khususnya jurutera dan arkitek berangan-angan mahu meniru dan memperbaiki sama seperti China.

* Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (UNISEL)