Sultan Kedah dipersembahkan Enakmen Lembaga Maktab Mahmud baru

Sultan Sallehuddin berkenan menerima senaskhah Enakmen Lembaga Maktab Mahmud (Kedah Darul Aman) 2017, di Istana Anak Bukit.
Sultan Sallehuddin berkenan menerima senaskhah Enakmen Lembaga Maktab Mahmud (Kedah Darul Aman) 2017, di Istana Anak Bukit.
A
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menerima senaskhah Enakmen Lembaga Maktab Mahmud (Kedah Darul Aman) 2017, menggantikan Enakmen Lembaga Maktab Mahmud 1967 yang berusia 50 tahun daripada ahli Lembaga Maktab Mahmud Negeri Kedah di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit.

Menurut kenyataan dikeluarkan Lembaga Maktab Mahmud Negeri Kedah, enakmen 1967 itu mengandungi 23 seksyen namun terdapat beberapa perkara dan klausa tidak lengkap menyebabkan Lembaga Maktab Mahmud memerlukan suatu enakmen baru yang lebih mantap dan terperinci dalam mentadbir dan menguruskan hal ehwal akademik, pentadbiran, kewangan dan pembangunan.

“Enakmen Lembaga Maktab Mahmud (Kedah Darul Aman) 2017 telah mendapat perkenan Sultan Kedah ketika itu, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 27 Ogos 2017 dan diwartakan pada 31 Ogos 2017,” katanya.

Sultan Sallehuddin (tengah) berkenan bergambar bersama ahli Lembaga Maktab Mahmud Negeri Kedah.
Sultan Sallehuddin (tengah) berkenan bergambar bersama ahli Lembaga Maktab Mahmud Negeri Kedah.

Menurutnya, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah telah menetapkan 1 September 2017 sebagai tarikh enakmen berkuat kuasa sempena 50 tahun usia Enakmen Lembaga Maktab Mahmud 1967.

“Enakmen ini bertujuan mengukuhkan kedudukan, kuasa dan fungsi Lembaga Maktab Mahmud bawah naungan Sultan Kedah dengan lebih jelas. Enakmen ini mempunyai 45 seksyen yang dibahagikan kepada tujuh bahagian mengikut perincian masing-masing,” katanya.

Katanya, enakmen ini juga merupakan sentuhan terakhir Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah terhadap Maktab Mahmud yang sentiasa dekat di hati Almarhum, susulan selepas 10 hari enakmen berkuat kuasa, Almarhum mangkat pada 11 September 2017.

Majlis mengadap berkenaan juga adalah untuk memperkenalkan ahli-ahli Lembaga Maktab Mahmud Negeri Kedah diketuai oleh Pengerusinya, yang juga Exco Pendidikan, Dr Salmee Said.

Artikel Berkaitan: