Lori terbalik lintang jalan, Exco gagal hadiri program kanak-kanak

GEORGE TOWN – Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim, tidak dapat menghadiri Sambutan Hari Kanak-kanak di Hotel Bahang Bay, Teluk Bahang selepas terkandas dalam perjalanan susulan kemalangan melibatkan sebuah lori yang terbalik berhampiran hotel berkenaan.
Dalam hantaran di Facebook pada malam Khamis, beliau berkata, kejadian itu menyebabkan perjalanan ke lokasi program terganggu sekali gus memaksanya menyampaikan ucapan kepada kanak-kanak yang hadir menerusi panggilan video.
“Minta maaf anak-anak semua. YB jumpa melalui video call ya,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori 10 tan yang membawa muatan tanah dan terbabas sebelum terbalik sehingga melintang jalan berhampiran Hotel Bahang Bay di Jalan Teluk Bahang.
Menurutnya, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 4.14 petang Khamis sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Bahang tiba di lokasi lapan minit kemudian.
“Pemandu lori berusia 20 tahun berjaya keluar dari kenderaan tersebut sebelum ketibaan pasukan bomba dan dilaporkan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
“Tiada mangsa lain terlibat dalam kemalangan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

John berkata, operasi mengangkat lori berkenaan turut dibantu oleh dua kren milik syarikat swasta, namun salah sebuah kren terbabit dihempap pokok tumbang yang melintang jalan.
“Komander operasi kemudian mengarahkan anggota menjalankan kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang sebelum kerja mengangkat lori diteruskan.
“Lori berkenaan berjaya dialihkan pada jam 12.53 tengah malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.12 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” katanya.
Menurut beliau, operasi itu melibatkan lima anggota BBP Teluk Bahang dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

