Menantu tak tahu Zahid Hamidi pengasas Yayasan Akalbudi

Ahmad Zahid - Foto fail
Ahmad Zahid - Foto fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Zul Hisham Zainal yang merupakan menantu kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu mahkamah cek bernilai RM 1.3 juta yang diterima oleh Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan sumbangan daripada mentuanya bagi menyelesaikan gaji pemain yang tertunggak.

Bagaimanapun, dia yang merupakan saksi ke-19 mengaku tidak mengetahui bahawa mentuanya merupakan pengasas Yayasan Akalbudi, pemegang amanah dan penandatangan tunggal.

“Saya baru sahaja mengetahui bahawa salah seorang pengarah yang berada di dalam Yayasan Akalbudi adalah bapa mentua saya iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Sepanjang menjadi menantu kepada Datuk Seri Ahmad Zahid, saya tidak pernah mengetahui bahawa bapa mentua saya mempunyai Yayasan Akalbudi ataupun mana-mana yayasan,” katanya ketika membacakan pernyataan bertulisnya di Mahkamah Tinggi di sini.

Beliau berkata demikian sebagai saksi kes tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan kes pecah amanah dana Yayasan Akalbudi yang masuk hari ke-11.

ARTIKEL BERKAITAN: Yayasan Akalbudi guna dana RM360,000 untuk tujuan politik

Saya tak tahu gaji Zahid RM120,000 sebulan, kata saksi

Bagaimanapun, ketika disoal dalam sesi pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili Ahmad Zahid, Zul Hisham mengakui dia tahu banyak sumbangan diberikan Ahmad Zahid menerusi Yayasan Akalbudi kepada masyarakat di Bagan Datuk.

Artikel Berkaitan:

Menurut Zul Hisham dalam pernyataan bertulisnya, dia mula terlibat secara tidak langsung dengan Persatuan Bola Sepak PDRM sekitar tahun 2014 dan hanya bertindak di belakang tabir atas dasar minat sebelum dilantik secara rasmi sebagai pengurus pasukan itu untuk musim 2017.

Katanya, pada tahun 2015, Penolong Setiausaha Persatuan Bola Sepak PDRM, ASP Mohd Nizam Mohd Noor memohon bantuan penajaan kewangan bagi membayar gaji pemain yang tertunggak serta urusan pentadbiran persatuan.

“Kemudian, saya telah memaklumkan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid berkaitan permohonan Persatuan Bola Sepak PDRM ini.

“Seterusnya saya telah menerima satu sampul surat yang mengandungi cek daripada pekerja Yayasan Akalbudi (saya tidak ingat siapa) dan saya telah menghubungi Encik Nizam untuk menyerahkan cek tersebut (lokasi sebenar saya tidak ingat),” katanya.

Zul Hisham turut diminta Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Maulat Ahmad Zakiuddin untuk mengesahkan sekeping cek Affin Bank Berhad bertarikh 19 November 2015 berjumlah RM1.3 juta sebagai cek yang diserahkan Mohd Nizam.

Sementara itu, Mohd Nizam sebagai saksi ke-20 mengesahkan kemasukan wang berjumlah RM1.3 juta ke dalam akaun persatuan daripada cek Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.