X

Kindly register in order to view this article
!

Saya tak tahu gaji Zahid RM120,000 sebulan, kata saksi

Ahmad Zahid. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

KUALA LUMPUR - “Saya tidak tahu gaji Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 1996 mencecah RM120,000 sebulan tetapi saya setuju beliau merupakan 100 peratus penyumbang sumber dana yayasan itu,” kata saksi keempat perbicaraan kes Ahmad Zahid berkaitan Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Bekas kakitangan Kwong Yik Finance, Mohd Samsuri Tun ketika menjawab pertanyaan peguambela Datuk Ahmad Zaidi Zainal berkata, dia tidak mengetahui Ahmad Zahid memperoleh pendapatan menerusi jawatan lain.

Ahmad Zaidi: Encik tahu tak pada 1996 Ahmad Zahid menjawat jawatan Pengerusi Bank Simpanan Nasional, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kretam Holdings, Pengerusi Tekala Corporation Bhd, Pengerusi Ramatex Bhd dan Pengerusi Seng Hup.

Mohd Samsuri: Tidak.

Ahmad Zaidi: Encik tahu tak pada tahun yang sama, harga saham Kretam Holding ketika itu ialah RM1.50 melonjak kepada RM15.

Mohd Samsuri: Saya tahu tetapi tak tahu nilai.

Beliau berkata, dia tidak mengetahui hanya kira-kira RM30,000 daripada jumlah gaji Ahmad Zahid ketika itu digunakan untuk hal peribadi manakala selebihnya disalur kepada Yayasan Akalbudi.

“Saya tak tahu dana daripada Yayasan itu digunakan untuk membina maahad tahfiz, masjid dan kebajikan tanpa mengira bangsa atau agama kerana saya cuma tahu yayasan itu ditubuh untuk kutip dana bagi pembangunan UMNO dan penduduk Bagan Datoh,” katanya.

Mohd Samsuri: Sepanjang tempoh saya menjadi pengarah Yayasan Akalbudi, saya tidak pernah berbincang dengan Ahmad Zahid tentang perbelanjaan yang hendak dibuat dan perbelanjaan yang dibuat oleh Yayasan Akalbudi.

Beliau juga berkata, sepanjang tempoh beliau menjadi pengarah Yayasan Akalbudi, beliau pernah menandatangani dokumen kewangan Yayasan Akalbudi seperti cek milik Yayasan Akalbudi secara pra-tandatangan.

Namun katanya, beliau tidak mengetahui tujuan pembayaran bagi setiap cek yang ditandatangani.

Perbicaraan akan bersambung pada jam 2.30 petang dengan pihak pendakwaan akan menyoal kembali saksi keempat itu hari ini.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari tahun ini, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, 66, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus