X

Kindly register in order to view this article
!

Gobind tiada masalah jika dikritik

Gobind menerima penghargaan daripada Ketua Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Industri India Bersekutu Malaysia (MAICCI), MV Shankar pada pelancaran 3rd Annual National Malaysian Indian Digital Economy Conference 2019 di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sentiasa fokus dalam usaha menambah baik komunikasi dalam semua aspek selain mengatasi apa-apa kekurangan yang ada.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, pelabagai usaha dilakukan KKMM termasuk mewujudkan beberapa bahagian bertujuan menaik taraf dan membaiki teknik komunikasi.

“Kementerian saya dibahagikan kepada beberapa bahagian termasuk apa kita lihat hari ini dengan fokus kepada ekonomi digital dan sebagainya, kesemuanya bertujuan menaik taraf dan memperbaiki apa yang kita sebut sebagai teknik komunikasi kita.

“Tetapi saya tidak ada masalah dengan kritikan yang ditujukan kepada saya, saya rasa ini adalah proses demokrasi yang membenarkan semua menyuarakan pandangan masing-masing. Pada saya 'work goes on' dan kita perlu bekerja lebih kuat untuk pastikan kita lebih berjaya,” katanya selepas merasmikan 3rd Annual National Malaysian Indian Digital Economy Conference 2019 di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan seorang perwakilan Parti Amanah Negara (Amanah) dari Sarawak pada Konvensyen Nasional Amanah semalam yang mahu Perdana Menteri menggugurkan beliau daripada portfolio Menteri Komunikasi dan Multimedia kerana dilihat gagal mempromosi kejayaan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Gobind berkata, selaku menteri dan pemimpin, beliau perlu mendengar apa jua kritikan yang dikemukakan untuk memastikan lebih kejayaan diperoleh.

Dalam pada itu, menurutnya, ancaman siber adalah perkara yang menjadi fokus sekian lama lebih-lebih lagi ke arah dunia teknologi dan digital.

“Kita perlu pastikan bahawa selagi kita lihat bagaimana kita boleh mengembangkan rangkaian infra dan sebagainya, kita juga perlu lihat sudut sekuriti.

"Daripada sudut penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia atau Angkatan Tentera Malaysia, ia perlu dilaksanakan oleh kementerian lain yang terlibat," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus