Tiada masalah ahli UMNO undi DAP - Mahdzir

Mahdzir (tengah) ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Konvensyen Majlis Pimpinan Perpaduan Kedah 2023 di Ampang Business Center (ABC), Ampang Jajar, pada Ahad. Turut hadir, Mahfuz.
Mahdzir (tengah) ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Konvensyen Majlis Pimpinan Perpaduan Kedah 2023 di Ampang Business Center (ABC), Ampang Jajar, pada Ahad. Turut hadir, Mahfuz.
A
A
A

ALOR SETAR - Tidak sebarang isu untuk ahli UMNO mengundi calon parti Pakatan Harapan (PH) termasuklah DAP di enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia memandangkan Barisan Nasional (BN) dan PH merupakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

“Itu yang disebut pilihan raya. Apabila kita sudah duduk dalam Kerajaan Perpaduan ini, PH gabung BN. Mana-mana parti dalam PH, begitu juga parti dalam BN sudah jadi gabungan. Ia jadi sama.

"Jadi, saya fikir tidak jadi satu kesalahan. Jadi, tidak ada isu untuk mereka undi DAP sama seperti yang dinyatakan Ahmad," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Konvensyen Majlis Pimpinan Perpaduan Kedah 2023 di Ampang Business Center (ABC), Ampang Jajar, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Mahdzir berkata sedemikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang meminta ahli parti itu untuk mengundi calon DAP pada PRN akan datang.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pengundi UMNO di enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) diminta memilih calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Maslan berkata, tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir turut menolak dakwaan bahawa UMNO Kedah telah kehilangan 40 peratus daripada sokongan akar umbi parti itu seperti dilaporkan sebuah portal pada Ahad.

Katanya, kenyataan itu hanya dibuat sumber dan penganalisa luar tanpa mengetahui keadaan semasa parti itu, sekali gus ia bukanlah bukti tepat tentang dakwaan itu.

“Saya fikir apabila setiap kali pilihan raya, akan ada penganalisa yang datang buat andaian macam-macam.

"Angka 40 peratus itu pun entah dari mana dia dapat. Sebab apa-apapun sebenarnya, saya ingat ia bergantung kepada kekuatan semasa parti dan setakat ini tiada ahli UMNO Kedah yang lari,"katanya.

Mahdzir menyifatkan, kenyataan penganalisa itu bukan sahaja tidak tepat, malah tiada sebarang bukti.

Beliau berpandangan, dakwaan itu adalah usaha propaganda parti lain yang cuba mahu kekalkan dan pertahankan sokongan mereka pada PRN akan datang sama seperti yang diperoleh semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

ARTIKEL BERKAITAN:PRN: Ahmad ajak pengundi UMNO pangkah calon DAP

ARTIKEL BERKAITAN:Sukar ubah penyokong terima DAP, tapi tak mustahil - Ahmad Zahid

ARTIKEL BERKAITAN:Janggal, luar biasa UMNO minta sokong DAP - Muhyiddin

ARTIKEL BERKAITAN:PRN: Ahli, penyokong DAP digesa beri undi kepada calon UMNO

ARTIKEL BERKAITAN:'Muhyiddin pernah ajak rakyat sokong DAP' - Sheikh Umar