Cubaan seludup hasil pertanian gagal

Antara hasil pertanian dirampas Maqis Kedah dalam pemeriksaan di Durian Burung pada 5 Disember lepas.
Antara hasil pertanian dirampas Maqis Kedah dalam pemeriksaan di Durian Burung pada 5 Disember lepas.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah mematahkan cubaan membawa masuk hasil pertanian tanpa dokumen sah dari negara jiran di Durian Burung di sini pada Khamis lepas.

Pengarah Maqis Kedah, P Lily Rosalind berkata, pihaknya menemukan sebuah lori mengandungi hasil pertanian tanpa permit dan juga sijil fitosanitasi dipercayai diimport dari negara asal ketika melakukan pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, sehubungan itu pihaknya merampas 240 kilogram (kg) buah mangga, 60kg cili besar, 60kg lengkuas, 20kg limau nipis, 20kg ubi keledek dan 10kg serai.

"Kesemua barangan tersebut akan dilupuskan mengikut prosedur operasi piawai yang telah ditetapkan.

"Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), akta yang sama," katanya.

Beliau berkata, penahanan konsainan di bawah akta tersebut bertujuan memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia serta dapat mengawal kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara.

"Hal ini boleh menyebabkan pengusaha tanaman pertanian menanggung kerugian yang tinggi jika penyakit ini tidak dikawal," katanya.

Katanya, individu yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan: