Tak sempat jual dah kena cekup

Nor Azmi (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan motosikal dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam hari ini.
Nor Azmi (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan motosikal dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam hari ini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang tokan dadah yang menunggang motosikal curi tidak sempat mengisi minyak untuk ke lokasi penagihan apabila dicekup polis di sebuah stesen minyak di Sekinchan pada 4 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, lelaki berusia 51 tahun itu diberkas pada jam 8.30 malam hasil risikan dan maklumat awam.

Menurutnya, selain suspek, seorang lagi rakannya berusia 37 tahun dicekup di lokasi sama kerana terlibat dalam kes curi motosikal di kawasan berasingan.

"Kedua-dua suspek memang dikehendaki polis. Suspek pertama memiliki 19 rekod jenayah lampau manakala suspek kedua mempunyai sembilan kes membabitkan kes jenayah dan narkotik," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.

Nor Azmi berkata, pemeriksaan pada badan suspek berusia 51 tahun menjumpai beg kecil mengandungi satu plastik lut sinar besar yang di dalamnya terdapat tujuh peket kecil mengandungi dadah jenis heroin.

"Polis kemudian merampas dadah seberat 169.97 gram bernilai RM5,000 dan wang tunai sebanyak RM860 serta sebuah motosikal jenis Yamaha Ego bernilai RM2,500 yang dilarikan di Kampung Tanjung Tunjang pada 22 November lalu," katanya.

Nor Azmi berkata, suspek kedua ditahan kerana terlibat dalam kes curi motosikal jenis skuter di Tebuk Jawa, 2 Disember lalu.

"Polis turut menjumpai satu beg kecil mengandungi satu peket dadah jenis heroin seberat 1.09 gram," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kedua-dua suspek masih direman untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.