'Mesej jelas kongres mahu pemimpin, anggota patuh disiplin parti'

Anwar (kanan) menyatakan sesuatu kepada Tian Chua pada Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini. - Foto Bernama
Anwar (kanan) menyatakan sesuatu kepada Tian Chua pada Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2019 membawa mesej jelas bahawa pimpinan harus tegas dan bertindak terhadap pemimpin serta anggota agar patuh kepada disiplin parti.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun mesej ini jelas, namun masih terdapat sesetengah pihak dalam parti tidak dapat menerima jika mereka dikenakan tindakan akibat terlibat dengan salah laku dan masalah disiplin.

"Ini mesej yang kita dengar dengan jelas tetapi dengan cara dan kaedah lebih bijak. Bila pegang jawatan tinggi ini ada risiko dia dan ini kawan-kawan kita sebab itu saya ambil pendekatan lembut, saya tidak pernah marah.

"Macam kes SPRM (pemecatan Ketua Cabang PKR Bera Zakaria Abdul Hamid dan ahli PKR negeri Pahang Ismail Dulhadi), Lembaga Disiplin (parti) buat keputusan, MPP juga dah putuskan, macam mana Keadilan, parti reformasi minta Anwar minta maaf sebab ambil tindakan pada ahli yang terlibat dengan rasuah," katanya semasa ucapan penggulungan pada hari terakhir kongres di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Ucapan Presiden PKR itu menjadi tumpuan banyak pihak apabila kongres tahunan itu melalui suasana ‘panas dan penuh dramatik’ ekoran tindakan luar jangka beberapa pemimpin yang keluar dewan dan tidak menghadiri persidangan, selain tindak balas pemimpin parti berhubung isu berkenaan semasa menyampaikan ucapan penggulungan mereka.

Antara pemimpin utama yang berada di atas pentas ialah Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; setiausaha agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; ketua penerangan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir; naib presiden, Tian Chua, Datuk A Xavier Jayakumar dan Chang Lih Kang.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dan Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha serta beberapa Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pula tidak hadir.

Mengulas lanjut, Anwar sempat memberikan perincian bahawa lebih 80 peratus perwakilan berdaftar hadir dan ribuan pemerhati masih kekal berada bersama-sama parti untuk meneruskan kongres sehingga tamat.

Artikel Berkaitan:

Bagi kongres ke-14 ini, sejumlah 880 perwakilan perlu hadir bagi mencukupkan kuorum untuk memastikan kongres itu berjalan lancar.

Anwar turut menjelaskan bahawa beliau tidak berniat menyindir Mohamed Azmin sehingga menyebabkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dan 22 MPP meninggalkan dewan ketika perbahasan semalam.

"Saya cerita Si Kitul dan Raja Mendeliar, saya tidak ada niat singgung sesiapa. Ini Melaka, ini sejarah tertulis dalam Sulalatus Salatin, saya bawa (kisah ini) sebab ada pengajaran iaitu runtuhnya Kota Melaka kerana fitnah dan pengkhianatan, itu bahaya fitnah kepada negara, itu pengajaran dia," katanya.

Anwar juga mengingatkan barisan pimpinan dan perwakilan supaya bersabar jika mempunyai perbezaan pandangan serta tidak bertindak sehingga menyebabkan situasi di luar kawalan, sebaliknya membawa isu ke meja rundingan.

"Kita faham parti ini muncul daripada latihan ahlinya supaya jadi garang, berang. Cuma nak garang, nak berang, nak merajuk boleh tapi dalam kawalanlah.

"Jika ada yang tidak bersetuju, yang berbeza pendapat, yang marah, yang keluar, itu semua keluarga kita, anggota parti kita, kita tak boleh padam semua kebaikan hanya kerana kemarahan sebentar, jadi saya harap bersabar," pesannya.

Anwar memuji Tian Chua yang memilih untuk menyelesaikan sebarang perselisihan pandangan dengan cara rundingan, namun Tian Chua katanya, dihentam oleh kedua-dua pihak yang mempertahankan pandangan mereka dan ini menyebabkan situasi salah faham serta tidak menemui jalan penyelesaian.

"Tapi saya tidak (hentam). Pandangan dia ialah cari jalan penyelesaian, jadi kita kena bagi ruang. Saya ada pandangan sendiri tetapi kita juga tak boleh tolak sentimen perwakilan dan pemerhati," tegasnya.

Anwar dengan tegas turut mengingatkan agar anggota yang tidak lagi berminat memperjuangkan isu yang menjadi keutamaan parti supaya keluar daripada parti itu.

Katanya, PKR mesti menjadi parti yang mengambil peluang memperjuangkan isu seperti mutu pendidikan, mutu kesihatan, prasarana asas, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pengangguran.

"Ini isu kita, kita harus fikir untuk selesaikan semua ini jika kita mahu kekal dalam kerajaan dan tidak mahu parti kalah dalam pilihan raya. Kalau kurang minat isu rakyat, maka pilih parti lain, tak apalah kritik presiden pun, tapi masih beri perhatian pada isu rakyat,” katanya.

Terdahulu, Anwar turut menyampaikan sijil kepada wakil tujuh Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang telah mengadakan program latihan dan kecemerlangan. - Bernama