Mantap perkemas sistem pusat tahfiz, pondok

Sebahagian wakil pusat tahfiz dan pondok di bawah Mantap Pahang yang hadir pada persidangan di sini kelmarin. (Gambar kecil: Khairul Azmi)
Sebahagian wakil pusat tahfiz dan pondok di bawah Mantap Pahang yang hadir pada persidangan di sini kelmarin. (Gambar kecil: Khairul Azmi)
A
A
A

KUANTAN - Majlis Taawun Pusat Pendidikan Pahang (Mantap) menganjurkan satu persidangan bagi memperkemaskan sistem pengurusan pentadbiran, kewangan, urusan pelajar serta silibus di semua pusat tahfiz dan pondok yang bernaung di bawahnya.

Pengerusi Mantap, Khairul Azmi Ismail berkata, persidangan disertai 21 wakil dari 18 institusi tahfiz dan pondok seluruh daerah di negeri ini juga bertujuan membantu meningkatkan sistem di institusi di bawahnya bagi menghadapi tahun 2020.

"Ini antara inisiatif yang kami ambil. Walaupun berdepan pelbagai kekangan dan kekurangan, kami kepimpinan Mantap akan terus berusaha sedaya termampu untuk memantapkan sistem pentadbiran di semua institusi kami dari semasa ke semasa.

“Kami di gabungan institusi tahfiz dan pondok swasta bergantung kepada dana sendiri tanpa sebarang bantuan daripada mana-mana pihak namun kekangan kewangan yang dihadapi bukan alasan untuk menidakkan perlunya kepada satu sistem pengurusan yang lebih kemas,” katanya ketika dihubungi di sini Sinar Harian hari ini.

Khairul Azmi berkata, usaha yang dilakukan itu antara inisiatif dan tanggungjawab dalam memulihkan imej institusi tahfiz dan pondok di negara ini yang tercalar ekoran beberapa insiden yang berlaku sehingga memberi tanggapan negatif dalam kalangan masyarakat.

“Justeru pada persidangan ini kita mewajibkan wakil dari institusi di bawah Mantap terdiri pengerusi dan mudir hadir bagi mendengar taklimat perancangan dan usaha memperkemaskan sistem sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, pada persidangan itu juga, beberapa rangka program untuk tahun 2020 dipersetujui antaranya program pemantapan guru, karnival sukan Mantap dan himpunan pondok tahun hadapan.

Artikel Berkaitan: