X

Kindly register in order to view this article
!

1,600 kaki pancing berentap untuk menang besar

A
A

KUALA PERLIS - Pertandingan memancing Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2019 A Journey To Visit Malaysia 2020 dilihat mampu membantu peningkatan ekonomi penduduk tempatan.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Tourism Malaysia, Zulkifly Md Said berkata, pertandingan yang diadakan di Kuala Sungai Baru di sini semalam melibatkan lebih 1,600 peserta.

Menurutnya, kebanyakan peserta datang dari luar Perlis seperti Johor, Melaka, Terengganu dan Sabah.

“Kita telah memilih 10 lokasi bagi mengadakan program sebegini dan ini adalah penganjuran lokasi yang kesembilan.

“Selepas Melaka pada 17 Mac lepas, program turut diadakan di Kelantan pada 13 April, Selangor (27 April), Terengganu (29 Jun), Perak (28 Julai), Pahang (18 Ogos), Negeri Sembilan (22 September) dan Johor pada 9 November lalu.

“Siri ke-10 yang turut dikenali Grand Slam akan berlangsung di Tasik Putrajaya pada 29 Disember ini,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Sungai Baru di sini semalam.

Menurutnya, pertandingan itu menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM1.3 juta serta tiga kereta jenis Perodua bagi peserta yang berjaya memungut mata tertinggi setelah lengkap 10 siri pusingan.

“Tujuan kita adakan siri pusingan ini adalah untuk membantu negeri-negeri terlibat agar dikenali dengan lebih dekat oleh pelancong luar,” katanya.

Zulkifly berkata, Tourism Malaysia akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak terutama kerajaan negeri dan penggiat industri pelancongan sebagai usaha menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2020 pada tahun hadapan.

Sementara itu, juara pertandingan memancing kali ini, Aspalila Sadikin, 55, berkata, dia gembira dengan kemenangan itu.

“Saya datang dengan bas dari Simpang Renggam, Johor. Wang kemenangan sebanyak RM70,000 ini sangat berbaloi buat saya.

“Insya-ALLAH wang ini akan digunakan untuk keperluan keluarga,” katanya.

Bapa kepada empat anak itu memperoleh ikan belukang seberat 1.55kg untuk menewaskan peserta lain.