Kedah negeri pertama setuju terima pegawai integriti

Latheefa Koya
Latheefa Koya
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Kedah menjadi negeri pertama bersetuju menerima seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk ditempatkan di pejabat menteri besar sebagai usaha meningkatkan integriti penjawat awam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, pihaknya kini dalam proses mengenal pasti pegawai integriti berpangkat kanan yang sesuai untuk ditempatkan di pejabat berkenaan.

Menurutnya, persetujuan kerajaan Kedah itu merupakan permulaan yang baik bagi mencegah kegiatan rasuah.

"Sebelum ini, kita ada pegawai peringkat kerajaan negeri sahaja tetapi sekarang kita mahu tingkatkan peranan SPRM melalui peletakan pegawai kanan terbabit," katanya kepada media selepas melancarkan Kempen Pencegahan Rasuah sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Latheefa berkata, pihaknya turut mengesyorkan kepada semua kerajaan negeri mengenai penempatan pegawai kanan terbabit.

"Respon yang kami terima agak positif, cuma mereka belum muktamadkan lagi," katanya.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir secara terbuka mengumumkan persetujuan menerima cadangan SPRM untuk menempatkan seorang pegawai kanannya di Pejabat Menteri Besar sebagai usaha pencegahan aktiviti rasuah dan menjaga integriti.

Artikel Berkaitan: