Anak Krakatau cetus ancaman

A
A
A

KAJIAN terbaru Brunel University di London berkaitan letusan gunung berapi Anak Krakatoa atau dikenali Anak Krakatau di Selat Sunda, Indonesia, amat mengejutkan.

Kajian terbaru tersebut mendapati pada satu ketika gelombang ombak setinggi 150 meter telah tercetus akibat jatuhan lava Anak Krakatau ke lautan pada 22 Disember 2018.

Ombak besar itu sekiranya kekal menuju ke daratan mampu merobohkan patung Statue of Liberty di Amerika Syarikat setinggi 93 meter atau London Eye di London, Britain setinggi 135 meter.

Diberitakan ramai juga yang berminat mengkaji perkembangan semasa di Anak Krakatau termasuk pasukan penyelidik antarabangsa diketuai Thomas Walter daripada German Research Centre for Geosciences (GRCG) berpangkalan di Potsdam, Jerman.

Penulis pula sebenarnya sudah lama meminati perihal ombak besar dan tsunami dan sering menerima maklumat tentang Anak Krakatau daripada pelajar seliaan Ijazah Kedoktoran (PhD) di Pekanbaru, Riau.

Ombak terbentuk akibat tenaga angin bertiup melalui permukaan air menyebabkan ia bergerak dalam gerakan bulat.

Bagaimanapun, air sebenarnya tidak bergerak dalam gelombang, tetapi gelombang tersebut menghantar tenaga melintasi seluruh lembangan lautan menyebabkan ombak semakin besar.

Ombak disebabkan tiupan angin dipanggil ombak angin atau ombak muka laut terjadi disebabkan geseran antara angin dan permukaan air.

Artikel Berkaitan:

Apabila angin bertiup melintasi permukaan lautan atau tasik, gangguan berterusan mewujudkan gelombang ombak. Jenis gelombang itu berlaku di seluruh dunia di lautan terbuka dan di sepanjang pantai.

Amaran ALLAH berkaitan ombak besar disebut dalam surah An-Nuur [24:39-40] iaitu: “Dan orang-orang yang kafir amal mereka ialah laksana fatamorgana di tanah datar, yang disangka air oleh orang-orang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu dia mendapati tiada sesuatu apa pun. Dan didapati (ketetapan) ALLAH di sisinya, lalu ALLAH memberikan kepadanya perhitungan (tentang) amalan (mereka) dengan cukup dan ALLAH adalah sangat cepat perhitungan-Nya; Atau seperti gelap gelita di lautan dalam, diliputi oleh ombak yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan; gelap gelita tindih-bertindih, apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, (dan) barang siapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh ALLAH tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun.”

Ombak lebih ganas sekiranya cuaca buruk menyebabkan berlaku badai taufan. Tekanan angin kuat menyebabkan berlaku lonjakan ribut dan siri jarak gelombang yang panjang di bawah paras air jauh dari pantai dan jarak gelombang itu semakin bertambah ketika ia bergerak menghampiri pantai.

Gelombang ombak berbahaya boleh juga berlaku disebabkan oleh gangguan bawah air berpunca daripada gempa bumi, tanah runtuh atau letusan gunung berapi. Gelombang yang sangat panjang itu dinamakan tsunami.

Daripada pengamatan penulis, dengan kiraan kelajuan angin antara 70 dan 90 kilometer sejam (km/j) di atas permukaan laut dalam tempoh antara 40 dan 70 jam akan menghasilkan parameter gelombang ombak selaju 40 km/j dan 60 km/j dengan ketinggian ombak antara 8 dan 15 meter dan purata jarak gelombang antara 130 dan 200 meter.

Secara umumnya, semakin pantas tenaga gelombang bergerak melalui air laut, ia akan menghasilkan lebih panjang jarak gelombang dalam tempoh tertentu.

Tsunami ialah jenis ombak gergasi disebabkan gempa bumi atau letusan gunung berapi di bawah laut seperti Anak Krakatau. Ombak akan bergerak lebih tinggi apabila kedalaman lautan berkurangan.

Sekiranya ombak tsunami itu melebihi ketinggian 150 meter, ia umpama pesawat jet dengan kelajuan melebihi 600 km/j dengan jarak gelombang sepanjang melebihi 2.5 kilometer.

Walaupun ancaman gunung berapi tiada di negara ini, tetapi disebabkan jarak gelombang ombak sangat panjang, ia pasti memberi kesan kepada Malaysia selaku tetangga Indonesia.

Agak melegakan kerana kita boleh mengesan pergerakan ombak kerana Jabatan Meteorologi Malaysia telah memasang 20 alat pengesan gegaran gempa bumi di seluruh Malaysia iaitu lapan alat pengesan pergerakan kecil dan 12 unit jenis pergerakan kuat seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Kudat, Beluran, Tawau dan Lahad Datu.

Kesimpulannya, Malaysia perlu memiliki sistem pemantauan dan pengesan gempa bumi berasas perubahan suhu, gelombang bunyi frekuensi rendah, alat pengesan pergerakan kecil selain menggunakan dron dan satelit.

Malaysia juga perlu meningkatkan kepakaran tentang sesar aktif dan risiko gempa bumi atau pakar seismologi sebelum kejadian buruk berlaku.

* Profesor Madya Dr Ir Muhidin Ariffin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor