Restoran tular pekerja ditampar tiada sijil halal

Bekalan bahan mentah yang tidak simpan dengan baik Gambar kanan: Keadaan restoran yang kotor kerana tidak menggunakan perangkap gris seperti disyaratkan PBT
Bekalan bahan mentah yang tidak simpan dengan baik Gambar kanan: Keadaan restoran yang kotor kerana tidak menggunakan perangkap gris seperti disyaratkan PBT
A
A
A

SHAH ALAM - Restoran yang tular di media sosial apabila seorang pekerjanya ditampar pelanggannya 1 Januari lalu, didapati bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

Dalam pemeriksaan bersepadu dijalankan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), premis turut didapati menggunakan bekalan bahan mentah termasuk daging kambing daripada pembekal yang tidak memiliki SPHM.

Timbalan Pengarah Operasi JAIS, Salwana Ahmad Dahlan berkata, pihaknya menjalankan siasatan di premis tersebut selepas menerima aduan orang awam yang keliru apabila terdapat ayat al-Quran digantung dalam premis sedangkan pemiliknya dikatakan bukan beragama Islam.

Menurutnya, pihaknya juga menerima aduan terdapat tulisan jawi pada papan tanda perniagaan selain bungkusan kain kuning digantung di sebelah ayat al-Quran dipercayai tangkal atau azimat.

“Hasil pemeriksaan sijil pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), didapati pemilikan premis dikongsi dua individu, seorang beragama Islam manakala seorang lagi bukan beragama Islam. Kesemua pekerja bukan Islam, hanya dua orang beragama Islam.

“Apa yang meragukan terdapat bungkusan kain kuning digantung di sebelah ayat al-Quran dipercayai sebagai tangkal dan azimat ,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan itu dijalankan Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Bahagian Penguatkuasaan JAIS.

Salwana berkata, hasil pemeriksaan pengusaha didapati gagal menjaga kebersihan.

Artikel Berkaitan:

Ketika pemeriksaan dilakukan, terdapat bahan mentah diletakkan di atas lantai pecah serta berlubang.

No Image Caption

“Premis tidak guna perangkap minyak seperti disyaratkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Pengusaha juga didapati jual makanan diperoleh daripada pembekal luar yang guna logo halal tidak diiktiraf pada bungkusan produk,” katanya.

Beliau berkata, tindakan diambil Bahagian Penguatkuasaan JAIS di bawah Seksyen 10 (a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana menghina agama Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.

Menurutnya, pemilik telah diarah hadir memberi keterangan di ibu pejabat JAIS.

“Pemilik diarah tidak menggantung ayat al-Quran dalam premis dan tidak menjual makanan yang menggunakan logo halal tidak diiktiraf.

“Pemilik juga diarah tutup tulisan jawi pada papan tanda yang kelirukan masyarakat beragama Islam, sekiranya gagal patuhi arahan tindakan diambil bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) Akta Perihal; Dagangan 2011,” katanya.

Dalam pada itu, JAIS menggesa orang ramai supaya mengutamakan premis memiliki sijil halal yang sah.

Orang ramai boleh menyemak status premis kedai makan yang memiliki sijil pengesahan halal menerusi laman web rasmi JAIS www.jais.gov.my.

“Jika terdapat mana-mana premis diragui atau didapati melakukan kesalahan penyalahgunaan ungkapan dan penandaan halal, masyarakat disaran laporkan ke talian 0355143760/3486,”katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang pekerja restoran mendakwa ditampar oleh pelanggannya selepas menegur supaya tidak menghisap rokok di tempat makan 1 Januari lalu.

Kejadian berlaku apabila pekerja restoran berusia 25 tahun itu menegur tiga lelaki yang menghisap rokok di dalam restoran terletak di Seksyen 25, di sini.

Pemilik restoran kemudian tampil membuat laporan polis dan salinan laporan itu tular di media sosial.

Dengan tularnya laporan polis itu, terdedah identiti sebenar pemilik restoran yang sebenarnya bukan beragama Islam.