'Dapatan siasatan insiden Putra Heights sudah ada, tunggu masa diumumkan' - Mohd Najwan

SHAH ALAM - Dapatan siasatan berhubung insiden saluran paip gas di Putra Heights sudah diperoleh dan kini menunggu masa sesuai untuk diumumkan.
Exco Pengurusan Bencana Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, siasatan yang dijalankan sebelum ini sudah mempunyai dapatan, namun pengumumannya perlu melalui prosedur pentadbiran kerajaan negeri.
Menurutnya, perkara itu juga sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor.
"Dari segi siasatan yang telah dilakukan sebelum ini memang sudah ada, namun bila ia akan diumumkan, kita tunggu daripada Menteri Besar, (Datuk Seri Amirudin Shari) sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Konvensyen Belia Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini pada Sabtu.
Sinar Harian pada 17 Ogos lalu melaporkan, kerajaan Selangor dijangka membuat keputusan berhubung pendedahan penuh insiden letupan itu selepas sambutan Hari Kebangsaan.
Insiden yang berlaku pada 1 April tahun lalu menyebabkan kemusnahan dan kerosakan kepada sejumlah kediaman serta kenderaan di kawasan terbabit.
Sebelum ini, isu pendedahan laporan penuh insiden itu menjadi perhatian penduduk dan pihak berkepentingan yang mahu mengetahui punca serta dapatan siasatan berkaitan kejadian berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Najwan menjelaskan, pengumuman itu akan dibuat selepas semua proses pentadbiran yang berkaitan dipatuhi.
"Kita sudah selesai bincang isu ini dan sekiranya ada perkara yang berbangkit, kita cuba selesaikan,” tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

