Bunga bawa kisah pengorbanan kakak jaga adik OKU, raih juara Teater Pentas Cinta

SHAH ALAM – Naskhah Bunga yang mengangkat kisah pengorbanan seorang kakak menjaga adiknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) membawa Kelab Penerbitan Kreatif Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) muncul sebagai juara Pertandingan Teater Pentas Cinta sempena Festival Novel Malaysia 2026 anjuran Karangkraf.
Pengarahnya, Najihah Abd Halim berkata, idea naskhah itu terinspirasi daripada keprihatinan terhadap golongan OKU yang sering diketepikan oleh masyarakat.
Najihah menjelaskan, Bunga mengisahkan Wani yang sanggup berkorban demi menjaga adiknya, Bunga, selain mengetengahkan perjuangan seorang individu OKU yang berdepan dengan pelbagai persoalan mengenai nilai dirinya.
“Ini ialah sebuah naskhah meruntun jiwa tentang pengorbanan dan derita yang tidak disedari.
“Bunga, di sebalik senyuman polos, sebenarnya bergelut dengan persoalan nilai dirinya sendiri kerana merasakan dirinya hanya menjadi beban kepada Wani,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, Najihah memberitahu, cabaran utama sepanjang latihan adalah untuk memastikan pelakon memahami watak masing-masing, terutama watak Bunga yang memerlukan konsistensi dari segi pergerakan, dialog dan emosi.
Menurutnya, latihan dilakukan secara berperingkat bermula dengan kajian watak, latihan pergerakan, dialog dan emosi sebelum rakaman persembahan digunakan untuk mengenal pasti ruang penambahbaikan.
“Saya berasa sangat bersyukur kerana saya melihat sendiri bagaimana pasukan Kelab Penerbitan Kreatif berusaha dalam menjayakan watak mereka sendiri,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Projek dan Penganjur pertandingan, Muhammad Aizuddin Jamali berkata, pertandingan itu menggabungkan dunia novel dan teater bagi memberi ruang kepada peserta untuk menghidupkan kisah cinta menerusi persembahan.
“Kami nak tunjukkan bahawa kisah cinta bukan hanya boleh dibaca dalam novel, tetapi juga boleh dihidupkan melalui persembahan teater.
“Pertandingan ini tercetus daripada keinginan untuk menggabungkan dunia novel dan teater dalam satu platform, selari dengan tema Festival Novel Malaysia,” tambahnya.

Menurut Aizuddin, lima kumpulan yang menyertai pertandingan berkenaan mengetengahkan identiti serta gaya penceritaan tersendiri.
“Bunga dipilih sebagai juara berdasarkan kekuatan lakonan, penceritaan, emosi serta keserasian keseluruhan pasukan ketika persembahan,” katanya.
Sebagai juara, Kelab Penerbitan Kreatif USIM menerima RM1,000, sijil dan token daripada Karangkraf, diikuti Cheritera Panggung di tempat kedua dengan menerima RM800, manakala Notorious Playhouse Production di tempat ketiga dengan RM500.
Aksara Rhymba dan Akademi Teater Rupawan Asli masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima serta menerima sijil dan saguhati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
