Isu komunis: Kerajaan didesak ambil tindakan tegas

Wan Mohd Faizul (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu hari ini.
Wan Mohd Faizul (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan didesak mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan yang mempunyai agenda dengan membawa masuk individu yang ada hubungan dengan komunis dan ideologi komunis.

Pengerusi UMMAH Terengganu, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, tindakan itu secara terang-terangan bertentangan dengan Rukun Negara (Kedaulatan Undang-Undang) dan undang-undang negara ini.

Menurutnya, banyak isu membabitkan komunis sebelum ini termasuk pengedaran komik, lambang bintang komunis di beberapa majlis, kemasukan abu mayat Chin Peng dan perhimpunan veteran anggota komunis daripada Parti Komunis Malaya (PKM) yang telah diharamkan di tanah air.

“Setakat ini, tiada tindakan afirmatif daripada kerajaan. Menteri-menteri Melayu Islam pula seolah-olah hanya berpeluk tubuh.

"Tiada kenyataan tegas apatah lagi tindakan yang tegas. Pihak yang bersalah pula hanyalah rasa cukup dengan minta maaf,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau dan Pengerusi Persatuan Guru-Guru Pondok Pantai Timur, Syed Suhaimi Syed Hasan bersama wakil dari Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Persatuan Rabitah Kebajikan Institusi Pendidikan Islam Terengganu membuat laporan polis hari ini.

Ia susulan perhimpunan Majlis Peringatan Ulang Tahun Ke-30 Perjanjian Damai Hatyai anjuran Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 yang diadakan di Kajang, Ahad lalu.

Wan Mohd Faizul berkata, kesalahan yang menimbulkan provokasi disusuli tindakan dan kemudian meminta maaf berulang kali merupakan taktik bagi merealisasikan strategi infiltrasi doktrin yang dibawa oleh gerakan komunis secara beransur-ansur.

Artikel Berkaitan:

Katanya, rakyat dan kerajaan perlu sedar dan mengambil peranan membasmi unsur-unsur ini.

“Jangan sampai masa sudah terlewat, kemarahan sudah tidak terbendung, huru-hara berlaku.

"Saya mewakili UMMAH Terengganu menyeru semua badan bukan kerajaan (NGO) Islam bersatu di bawah UMMAH untuk membantah pendukung komunis dan penyokongnya.

“Kami juga memberi amaran kepada gerakan komunis ini agar jangan bermain dengan api. Ingat peristiwa 13 Mei 1969. Ini bukan seruan perkauman tapi semua bangsa dari semua agama diseru bersatu dalam isu ini,” katanya.