RM1.9 juta zakat untuk biasiswa pelajar

Abdul Aziz (empat dari kanan) bersama pelajar cemerlang yang menerima biasiswa Baitulmal Insentif Pelajar Cemerlang Dalam Negara di Ibu Pejabat Perkim, Kuala Lumpur semalam.
Abdul Aziz (empat dari kanan) bersama pelajar cemerlang yang menerima biasiswa Baitulmal Insentif Pelajar Cemerlang Dalam Negara di Ibu Pejabat Perkim, Kuala Lumpur semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sebanyak RM1.9 juta bagi membantu golongan asnaf melalui pemberian biasiswa Baitulmal Insentif Pelajar Cemerlang Dalam Negara.

Pemberian biasiswa itu melibatkan seramai 39 pelajar cemerlang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang menyambung pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, pihaknya ingin melahirkan lebih ramai golongan profesional Islam dalam pelbagai bidang untuk kemajuan negara pada masa hadapan.

“Sehingga kini MAIWP menawarkan sembilan skim bantuan untuk pendidikan bermula dari peringkat sekolah rendah sehingga IPTA,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Skim Biasiswa Baitulmal Insentif Khas Pelajar Cemerlang Dalam Negara 2019 di Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini semalam.

Abdul Aziz berkata, menerusi pemberian biasiswa pada tahun ini, jumlah pelajar dalam kelompok asnaf yang disantuni MAIWP bertambah berbanding tahun lalu yang hanya melibatkan seramai 20 orang.

Menurut Abdul Aziz, pihaknya berharap lebih ramai pembayar zakat menunaikan tanggungjawab masing-masing selepas ini bagi membolehkan jumlah penerima manfaat itu ditingkatkan pada masa akan datang.

“Melalui pembayaran zakat, MAIWP akan cuba sebaik mungkin untuk menyalurkan semula pemberian tersebut kepada pihak yang lebih memerlukan bagi membantu mereka meningkatkan taraf hidup,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain biasiswa pelajaran dalam negara, Abdul Aziz berkata, MAIWP turut membantu pelajar cemerlang yang melanjutkan pelajaran di luar negara, antaranya Jordan dan beberapa negara lain.

Katanya, biasiswa atau bantuan yang ditawarkan oleh MAIWP tidak hanya melibatkan pembelajaran dalam jurusan agama, malah melibatkan bidang profesional lain.

“Sebagai contoh, menerusi pemberian tawaran biasiswa hari ini, hanya dua pelajar dalam bidang agama, manakala selebihnya melibatkan bidang profesional lain,” katanya.