Penduduk dianggap bukan warganegara

Notis yang tular di laman sosial.
Notis yang tular di laman sosial.
A
A
A

KOTA TINGGI - Tular notis kepada penduduk Kampung Simpang dan rangkaian di Tanjung Sedili di sini yang tidak mahu memberi kerjasama dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berkaitan maklumat keluarga dianggap sebagai bukan warganegara.

Menurut notis berkenaan sekirannya ada berlaku perkara yang tidak diingini, pihak MPKK tidak akan bertanggungjawab ke atas penduduk kampung yang tidak mahu berkerjasama.

Notis pemberitahuan itu turut memaklumkan pihak MPKK juga akan memberi pengetahuan kepada jabatan-jabatan dalam kerajaan bagi permasalahan pihak MPKK itu.

Dengan itu pihak MPKK Kampung Simpang dan rangkaian tertakluk dalam kerajaan menganggap penduduk yang tidak mahu bekerjasama adalah bukan warganegara.

Notis dikeluarkan Ketua Kampung Simpang dan rangkaian, Zailani Doladi itu disahkan sendiri beliau dan memaklumkan ia dikeluarkan pada Disember 2018 kepada penduduk kampung berkenaan.

Zailani berkata, notis berkenaan bertujuan untuk meningkatkan mutu pentadbiran kampung disamping mahu melihat ke mana arah tuju pendidikan, soal keselamatan dan seandainya berlaku bencana alam.

"Ia diedar Disember lepas. Terdapat tujuh buah kampung di bawah saya antaranya Kampung Padang, Kampung Singapura, Kampung Sentosa, Kampung Tanah Puteh, Kampung Perpat, Kampung Telok Hutan Lesong dan Kampung Simpang.

"Sejak dilantik menjadi ketua kampung sebulan lalu, kita dapati ada keluarga yang tidak memberikan kerjasama. Sebab itu kita arahkan semua jawatankuasa di semua kampung untuk hantar notis itu.

Artikel Berkaitan:

"Kita cuma mahu penduduk beri kerjasama kerana kita perlu tahu berapa ramai penduduk yang miskin, tahap pendidikan, berapa anak yatim, orang kelainan upaya (OKU) juga tahap pendidikan dalam sesebuah keluarga," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, apa diharapkan perkara berkenaan berkaitan kerjasama penduduk itu dapat diselesaikan dengan cepat agar beliau dapat melaksanakan tugas sebagai ketua kampung dengan sebaiknya.

Dalam pada itu, Penyelaras Dun Sedili, Abd Razak Esa berkata, notis berkenaan dilihat seolah-olah seperti ugutan kepada rakyat atau penduduk setempat.

Katanya, tidak wajar penduduk kampung yang tidak mahu memberikan kerjasama dihukum dengan tidak perlu dibantu.

"Sepatutnya ketua kampung memainkan peranan membantu atau memberikan pandangan yang baik. Bukan cara seperti ini jika tidak berkerjasama terus hukum penduduk," katanya.