Syarikat pemula niaga perlu berani berubah untuk pasaran antarabangsa

Gobind Singh Deo (tiga, kanan) beramah mesra bersama para usahawan contoh industri teknologi selepas program 'GAIN Dialogue Session and Showcase' di ibu kota hari ini. -Foto Bernama
Gobind Singh Deo (tiga, kanan) beramah mesra bersama para usahawan contoh industri teknologi selepas program 'GAIN Dialogue Session and Showcase' di ibu kota hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usahawan terutamanya syarikat pemula niaga perlu berani menonjolkan diri dalam menghadapi perubahan teknologi ke arah Revolusi Perindustrian 4.0, sekali gus mempersiapkan diri mereka untuk meneroka pasaran global.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, usahawan tidak perlu gusar untuk mengadaptasi perubahan kerana kerajaan komited membantu mereka dari pelbagai aspek termasuk khidmat nasihat, menyediakan bantuan kewangan dan pendedahan kepada pasaran luar.

“Perubahan akan membantu, membina dan membawa kita ke tahap lebih tinggi, tahap yang rakyat Malaysia dilihat sebagai pesaing di peringkat global.

“Oleh itu, amat penting bagi kerajaan untuk mendengar keperluan industri baharu dan syarikat pemula niaga serta bagaimana kita dapat bekerjasama untuk membantu mereka berjaya dalam bidang yang diceburi,” katanya pada sesi ‘Global Acceleration and Innovation Network (GAIN) Discussion and Showcase’ di sini hari ini.

GAIN merupakan inisiatif di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk membantu firma teknologi Malaysia tumbuh dan berkembang baik di peringkat serantau mahupun global.

Gobind turut menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat gergasi memberi kepercayaan kepada syarikat pemula niaga tempatan selain melabur dalam syarikat tersebut yang terbukti berjaya dalam perniagaannya.

“Ini untuk membantu mereka mengembangkan perniagaan kepada skala yang lebih besar,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: