Polis mohon inkues kes tahanan mati dalam lokap

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A
KEPALA BATAS - Polis akan mengemukakan cadangan kepada Mahkamah Majistret untuk mengadakan inkues bagi mengenal pasti punca kematian seorang tahanan yang ditemui mati di lokap tahanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) di sini pada 22 November lalu.

Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya telah melengkapkan siasatan berhubung kejadian itu dan akan merujuk kepada majistret untuk mengadakan inkues selepas mendapat persetujuan Pejabat Peguam Negara.

"Ini adalah jalan terbaik bagi keluarga tahanan untuk mendapatkan maklumat berhubung kejadian yang berlaku," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam kejadian 22 November lalu, seorang lelaki dijumpai tergantung pada jeriji lokap kira-kira jam 4 pagi oleh seorang tahanan yang terjaga daripada tidur sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Difahamkan lelaki berusia 29 tahun yang ditahan pada 13 November lalu di Kampung Perlis, Butterworth bersama seorang lagi rakannya berumur 38 tahun atas kesalahan memiliki dadah.

Mereka berdua direman selama tujuh hari sejak 14 November sementara kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berikutan kejadian itu, polis turut menerima laporan polis dibuat keluarga lelaki tersebut yang meminta pihaknya menyiasat sebab kematian tahanan berkenaan ketika berada di bawah jagaan polis.

Mengulas lanjut Noorzainy berkata, seramai 50 orang termasuk pegawai dan anggota polis serta tahanan yang berada dalam lokap bersama lelaki itu di rekodkan keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan kes tersebut.

Katanya, selain itu polis turut menubuhkan satu pasukan khas untuk menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian tersebut dan pihaknya telus dalam siasatan berkenaan.
Artikel Berkaitan:


"Menerusi inkues itu kita nak mengetahui punca sebenar kematian dan sama ada terdapat unsur kecuaian di pihak polis, hasil (siasatan) setakat ini kejadian tersebut tiada unsur jenayah," katanya.

Menurutnya, pihak polis juga telah berjumpa dengan keluarga lelaki itu dan memberi penerangan, penjelasan serta hasil siasatan berhubung kejadian tersebut dan hasil pertemuan mereka berpuas hati serta memahami sebab-sebab kematian.