Bantah taman permainan digunakan jajaran LRT3

Kain rentang membantah dan menyuarakan rasa tidak puas hati penduduk dengan penggunaan taman permainan perumahan mereka yang terlibat bagi jajaran LRT3.
Kain rentang membantah dan menyuarakan rasa tidak puas hati penduduk dengan penggunaan taman permainan perumahan mereka yang terlibat bagi jajaran LRT3.
A
A
A

SHAH ALAM - Penduduk taman perumahan Jalan Plumbum di sini mempersoalkan kelulusan tidak sah tembok keselamatan dan pondok pengawal (gated and guarded) oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di perumahan mereka selepas 14 tahun.

Yang Dipertua Persatuan Penduduk Jalan Plumbum 101, 103, Profesor Dr Azmi Ibrahim berkata, penafian tersebut membolehkan pemaju Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3) masuk memulakan projek di kawasan padang taman permainan mereka.

"Kami rasa ditipu oleh semua pihak termasuk PKNS yang mengiklankan perumahan gated and guarded sebelum diluluskan MBSA pada 2003 namun dinafikan pada 2017 bagi kegunaan LRT3.

"Penduduk juga turut rasa ditipu oleh pemaju LRT3 yang mendapat kelulusan projek pada November 2017 tanpa ada perbincangan bersama penduduk. Taklimat hanya diberikan pada Februari tahun lepas tanpa diberikan salinan projek kepada kami," katanya.

Beliau berkata demikian selepas berkumpul bersama 30 penduduk menyuarakan bantahan dan rasa tidak puas hati taman permainan mereka terlibat dengan jajaran LRT3 semalam.

Azmi berkata, pandangan penduduk tidak diberikan perhatian dan projek tetap diteruskan tanpa sebarang perubahan dengan mengekalkan pelan asal.

"Kami dimaklumkan terdapat beberapa alternatif jajaran dikemukakan namun pelan tersebut ditolak dengan jajaran asal diteruskan.

"Pemaju hanya beri jaminan tidak masuk akal yang padang permainan ini boleh digunakan selepas projek selesai. Anak-anak boleh bermain di padang permainan ini yang terletak di bawah jajaran lapan tiang yang mempunyai aliran elektrik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bantahan tersebut akan dikemukakan kepada pejabat menteri besar dan PKNS sebagai pemaju hartanah untuk prihatin dan memberikan maklum balas masalah dihadapi penduduk.

"Desakan kami adalah MBSA perlu isytiharkan semula yang tembok keselamatan dan pondok pengawal adalah sah seperti tertera dalam iklan PKNS. Kelulusan projek perumahan ini mengikut akta kerajaan tempatan mustahil selepas 14 tahun ia menjadi tidak sah.

"Selain itu, kami desak jajaran LRT3 di kawasan perumahan kami dikaji semula dengan menggunakan jajaran alternatif. Jika projek diteruskan, jarak rumah penduduk hanya dipisahkan 50 meter dan ketinggiannya menyamai tingkat empat pangsapuri bersebelahan," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut memandangkan ia telah dibawa ke mahkamah.

"Penduduk telah membawa perkara ini ke mahkamah, oleh itu kita tunggu hasil perbicaraan dan keputusan yang akan ditentukan di mahkamah kelak," katanya.