Port masak ketum kena serbu

Anbalagan (tiga dari kiri) menunjukkan bungkusan air dan daun ketum yang dirampas.
Anbalagan (tiga dari kiri) menunjukkan bungkusan air dan daun ketum yang dirampas.
A
A
A

BALIK PULAU - Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Darerah Barat Daya menyerbu dua buah rumah di kawasan Permatang Damar Laut, Batu Maung Sabtu lalu kerana menjadi lokasi memproses ketum.

Ketika serbuan kira-kira jam 1.50 pagi itu, polis turut menahan empat lelaki termasuk seorang warga Nepal yang sedang memasak daun ketum berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden AA Anbalagan berkata, pemeriksaan turut menemukan 1,000 bungkus air ketum yang siap diproses dianggarkan sebanyak 500,000 mililiter dan 16 plastik hitam berisi daun ketum dengan berat kira-kira 80 kilogram.

"Kita juga merampas peralatan memproses termasuk lima periuk, tiga dapur, empat tong gas, 12 tong ais, 10 raga dan pelbagai peralatan memasak yang lain," katanya pada sidang akhbar di sini pagi tadi.

Anbalagan berkata, semakan yang dibuat mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk kesalahan dadah dan jenayah.

Katanya, lelaki warga Nepal berusia 28 tahun diupah oleh kumpulan lelaki berkenaan dengan bayaran RM50 sehari untuk memasak daun ketum berkenaan.

"Berdasarkan siasatan daun ketum ini dibawa dari Kedah dan diproses di sini untuk dipasarkan di kawasan Batu Maung dan Bayan Lepas.

"Kumpulan berkenaan didapati beroperasi sejak tiga bulan lalu dan daun ketum yang diproses dijual pada harga RM5 hingga RM10 sebungkus,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jumlah keseluruhan air ketum dan barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM7,000 dan kesemua suspek kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952