Nilai murni yang kian runtuh

A
A
A

NEGARA Jepun memang sudah terkenal di seluruh dunia dalam pelbagai aspek terutamanya dalam aspek sosial dan ekonomi. Kehebatan Jepun menjadi salah sebuah negara yang berkuasa dalam bidang ekonomi dunia memang tidak dapat di pertikaikan oleh semua lapisan masyarakat di dunia ini.

Perkembangan pesat yang berlaku dalam ekonomi negara Jepun telah menjadi dorongan dan motivasi bagi negara-negara lain untuk mengikuti jejak langkah mereka. Pelbagai dasar dan strategi telah digubal oleh beberapa buah negara di dunia ini untuk memastikan mereka juga mampu mengikuti jejak kejayaan Jepun di masa hadapan.

Walaupun negara Jepun berjaya membangunkan ekonominya dengan begitu cemerlang, sifat toleransi dan hormat menghormati masih kukuh dalam kalangan masyarakat Jepun. Masyarakat dari pelbagai lapisan di Jepun masih mampu mengekalkan nilai murni mereka seperti menghormati orang tua, menghormati pelanggan, dan patuh kepada peraturan lalu lintas masih lagi kukuh walaupun mereka telah melalui pelbagai phasa pembangunan dan kemodenan.

Kejayaan masyarakat Jepun mengekalkan nilai-nilai murni seperti ini wajar untuk dijadikan contoh. Malaysia yang sedang menuju ke arah sebuah negara maju dan moden, perlulah memastikan nilai-nilai murni wajar dikekalkan dan menjadi amalan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Apa yang amat menyedihkan ialah, nilai murni yang menjadi tunjang kemanisan dan keindahan masyarakat Malaysia pada suatu ketika dulu telah mula pudar daripada menjadi amalan masyarakat di negara ini. Di antara nilai dan amalan mulia yang mulai pudar di negara ini ialah hormat menghormati, toleransi dan berbaik sangka.

Sifat hormati menghormati telah mulai pudar daripada amalan hidup seharian dalam kalangan masyarakat di negara ini. Anak-anak sudah mulai kurang hormat kepada ibu bapa atau guru-guru. Golongan muda sudah mula hilang hormat kepada golongan tua.

Sifat hormat menghormati di antara satu kaum dengan kaum yang lain juga sudah mula pudar. Oleh kerana sifat dan nilai hormat menghormati ini semakin pudar dalam masyarakat pada hari ini, maka berlakukan pelbagai perkara yang tidak diingini seperti pertelingkahan, perpecahan dan sebagainya.

Di antara kesan utama yang berlaku akibat daripada pudarnya nilai hormat menghormati ini ialah wujudnya kumpulan dalam kalangan masyarakat di negara ini yang berani mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti masyarakat, bangsa dan agama lain. Perbuatan seperti ini bukan sahaja boleh menimbulkan perasaan tidak puas kepada mereka yang terlibat, malah ia mungkin juga boleh mengakibatkan pertelingkahan dan juga pergaduhan di antara kumpulan-kumpulan yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Sifat toleransi pula memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan rakyat pelbagai kaum di Malaysia hidup aman dan damai sepanjang masa. Masyarakat di negara ini perlulah mempunyai sifat toleransi yang tinggi kepada bangsa lain selagi mana ianya tidak menjejaskan peraturan dan adat resam masyarakat di negara ini.

Sifat toleransi ini menjadi lebih utama kerana kepelbagaian bangsa, agama dan adat resam dalam negara ini memerlukan sifat toleransi yang tinggi untuk diamalkan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini.

Walau bagaimanapun sifat toleransi ini sudah mulai pudar dalam kalangan masyarakat. Senario ini dapat dilihat di jalan raya yang sesak apabila ada dalam kalangan pemandu yang memotong barisan tanpa mempedulikan pemandu lain yang sabar menanti untuk bergerak ke hadapan.

Keadaan yang sama juga dapat dilihat apabila tempat letak kereta OKU digunakan tanpa ada perasan toleransi kepada golongan tersebut. Untuk memastikan masyarakat Malaysia untuk terus dalam keadaan harmoni dan aman, sifat toleransi ini perlulah dimiliki dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat di negara ini.

Berbaik sangka

Sesebuah masyarakat dan bangsa mampu menjadi kukuh dan cemerlang sekiranya rakyat di negara sentiasa berbaik sangka di antara satu sama lain. Nilai seperti ini penting kerana ia mampu melonjakkan semangat kerja berpasukan dalam kalangan masyarakat yang terlibat. Bulat air kerana pembentungnya, bulat manusia kerana budi bahasanya.

Oleh yang sedemikian, untuk memastikan kemajuan dan kesejahteraan negara ini terus berkekalan adalah menjadi suatu kewajipan kepada setiap ahli masyarakat di negara ini mengamalkan nilai berbaik sangka di antara satu sama lain.

Keharmonian, perpaduan dan kedamaian yang dinikmati oleh masyarakat di negara ini tidak mungkin dapat dikecapi tanpa wujudkan sifat hormat menghormati, toleransi dan berbaik sangka di antara satu sama lain. Tanpa wujudnya nilai murni seperti ini, kedamaian dan keselesaan yang dialamai oleh masyarakat di negara ini mungkin akan terancam.

Oleh yang sedemikian, adalah amat penting kepada setiap rakyat di negara ini untuk memahami, menghayati seterusnya mengamalkan tiga nilai tersebut dalam kehidupan seharian mereka. Semoga Malaysia akan terus harmoni, aman dan damai sepanjang masa.

*Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Pakar Sosiologi