Tuduhan dan tuntutan melampau pembangkang: MPKK DUN Pilah

Antara MPKK yang hadir pada sidang media tersebut hari ini.
Antara MPKK yang hadir pada sidang media tersebut hari ini.
A
A
A

KUALA PILAH - Tuduhan dan tuntutan pihak pembangkang terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Mohamad Nazaruddin Sabtu dianggap melampau selain bertujuan meraih keuntungan politik semata-mata.

Ketua Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Pilah, Hasnan Abd Malek berkata, tindakan pembangkang yang mendesak Mohamad Nazaruddin meletakkan jawatan hanya untuk mengganggu kestabilan kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun.

"Kesihatan beliau (Mohamad Nazaruddin) bertambah baik malah mampu menggalas tanggungjawabn dengan lebih berkesan lagi dengan sokongan kami (MPKK DUN Pilah).

"Kami yakin tuntutan pembangkang ketika demonstrasi di hadapan pintu masuk Wisma Negeri Selasa lalu berniat jahat," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pilah di sini hari ini.

Hasnan berkata, serangan di media sosial tidak menggambarkan keadaan sebenarnya dan mungkin ada kepentingan pihak-pihak tertentu.

Terdahulu, kira-kira 50 Pemuda UMNO Negeri Sembilan mengadakan demonstrasi di hadapan pintu masuk Wisma Negeri bagi mendesak Mohamad Nazaruddin meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kerana didakwa tidak mampu menjalankan tugasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai penutupan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pilah baru-baru ini, Hasnan berkata, pejabat tersebut ditutup disebabkan pelantikan pegawai khas baharu dan pihak DUN menstruktur semula pengurusan.

"Pejabat ini juga masih diuruskan oleh Nazaruddin dan dibantu empat kakitangan pejabat dan tidak membabitkan ahli keluarga," katanya.

Artikel Berkaitan: