'Munafik' hangatkan sidang DUN Johor

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Layang-Layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kerana enggan menarik balik perkataan munafik yang digunakan sewaktu ucapan perbahasan pada Isnin lalu.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berkata, perkataan munafik itu dianggap melanggar peraturan yang termaktub dalam buku Peraturan - Peraturan Dan Perintah-Perintah Bagi DUN Johor yang dianggap sebagai tidak sopan dan berbentuk hasutan.

Bagaimanapun Onn menegaskan, perkataan munafik yang digunakan bagi merujuk kepada kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji 100 hari bukan bersifat hasutan sebaliknya ia merupakan perkataan bahasa Arab yang bermaksud mungkir janji.

Pertikaman lidah berlanjutan antara Suhaizan dan Onn di mana Suhaizan menegaskan Onn perlu segera menarik balik perkataan munafik tersebut agar tidak diulangi oleh ADUN lain selepas ini.

Namun Onn masih berkeras dengan pendirian sehingga menyaksikan Ketua Pembangkang Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad bangun meminta agar rujukan dibuat buku Peraturan - Peraturan Dan Perintah- Perintah Bagi DUN Johor.

Chen Kah Eng (DAP- Stulang) kemudiannya meminta agar Onn dirujuk Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Johor supaya isu perkataan munafik tidak berpanjangan dihuraikan dalam sidang DUN Johor hari ini.

Suhaizan kemudian menyokong cadangan dikemukakan Kah Eng dan namun tidak menyatakan tarikh, masa serta pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Johor yang akan mengendalikan kes Onn.

Artikel Berkaitan: