Atasi segera kekurangan doktor, jururawat di Johor - Onn Hafiz

Onn Hafiz (berdiri, dua dari kanan) ketika mendengar keluhan orang ramai di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
Onn Hafiz (berdiri, dua dari kanan) ketika mendengar keluhan orang ramai di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Persekutuan digesa membantu negeri ini menyelesaikan isu kekurangan doktor dan jururawat di beberapa hospital awam terutama Hospital Sultan Ismail (HSI).

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bantuan kerajaan Persekutuan itu amat penting bagi membolehkan perkhidmatan kesihatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat.

"Antara isu dibangkitkan selepas lawatan di HSI amat memerlukan penyelesaian segera adalah kekurangan doktor dan jururawat menyebabkan Wad 9A dan 10A yang membabitkan lebih 100 katil pesakit tidak dapat digunakan.

"Isu sama juga menyebabkan hanya 10 dari 18 bilik pembedahan dapat digunakan di HSI. Ia mengakibatkan pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan dan bermakna ramai juga pesakit yang terkorban sementara menunggu giliran untuk dirawat di HSI," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Beliau berkata, isu berkenaan telah dibangkitkan dalam lawatan di HSI bersama Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Norazman Ayob, pada Rabu.

Pada 23 Mei lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dilaporkan berdepan isu kekurangan kakitangan kesihatan, terutamanya doktor dan jururawat yang dianggarkan hampir 2,800 staf di negeri ini.

Onn Hafiz berharap KKM dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu bagi membolehkan hospital awam di negeri ini dapat berfungsi pada tahap optimum selain menampung keperluan serta menjamin kesejahteraan dan kesihatan rakyat.

"Saya percaya, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan mampu menyelesaikan isu-isu berbangkit, seterusnya mampu memberikan perkhidmatan cemerlang kepada seluruh Bangsa Johor dan rakyat Malaysia, Insya-ALLAH," katanya.