Pengarah JVESB tak tahu RM3.09 juta diberi kepada Isa Samad

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah JV Evolution Sdn Bhd (JVESB) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak mengetahui wang berjumlah RM3.09 juta daripada beberapa cek yang ditunaikan di cawangan sebuah bank di Jelapang, Perak diberikan kepada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Azizi Abd Wahab, 53, berkata, wang itu hanya diserahkan kepada bekas Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel dalam sembilan pertemuan di lokasi berbeza.

"Saya hanya berurusan dengan Ikhwan. Saya tidak pernah berjumpa atau berurusan dengan Tan Sri Isa Samad.

“Saya hanya berjumpa dengan Muhammad Zahid Md Arip (pegawai khas Mohd Isa) semasa saya perkenalkan Ikhwan kepada Muhammad Zahid dan juga semasa lawatan saya ke Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, S.Nithtia.

Azizi berkata demikian ketika membacakan penyataan saksi pada hari ke-12 perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta membabitkan MPHS bernilai RM160 juta yang dihadapi Mohd Isa.

JVESB dilantik oleh GAPSB sebagai ejen untuk penjualan MPHS.

Saksi itu berkata, sepanjang Julai 2014 hingga Disember 2015 terdapat lapan siri pengeluaran antaranya membabitkan pengeluaran RM240,000 hingga RM500,000 di cawangan bank berkenaan.

Sementara itu, Azizi bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya bahawa berlaku perbincangan antaranya dengan rakan kongsi, Mazeed Abd Wahab berhubung pemulangan semula RM9 juta daripada komisen RM10 juta yang diperoleh JVESB berkaitan pembelian MPHS.

Artikel Berkaitan:

"Kami setuju (untuk pemulangan RM9 juta) kerana ingin wujudkan kepercayaan Ikhwan kepada kami supaya kami boleh diberi peluang untuk bertapak di Sarawak.

"Kepercayaan bermaksud laksanakan apa yang beliau minta dan kami mahu beliau percaya bahawa kami memang boleh dipercayai," katanya.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Salehuddin Saidin, Azizi tidak bersetuju dengan peguam itu bahawa peranan JVESB sangat nominal dalam proses penjualan MPHS.

"Pada kami, peranan kami penting kerana kami membuka jalan, tanpa berlakunya pengaturan perniagaan kami, penjualan ini tidak mungkin berlaku," kata Azizi.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Disember 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. - Bernama