Tidak tahu wang untuk Isa Samad

Isa (kanan) ditemui di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Isa (kanan) ditemui di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi ke-17 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia tidak mengetahui wang yang ditunaikan berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak adalah untuk bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Azizi Abd Wahab, 53, berkata, sepanjang berurusan dengan bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel, dia tidak pernah berjumpa atau berurusan dengan Mohd Isa.

“Saya hanya bertemu dengan Zahid Md Arip (pegawai khas kepada Pengerusi Felda) semasa saya perkenalkan beliau dengan Ikhwan ketika lawatan ke hotel di Sarawak,” katanya.

Semasa pemeriksaan balas dengan Peguam, Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd Isa, Azizi berkata, syarikatnya, JV Evolution Sdn Bhd (JVESB) patut menerima komisen sebanyak RM10 juta selepas bertindak sebagai pengantara jualan MPHS dengan Felda.

Bagaimanapun katanya, beliau sanggup melepaskan RM9 juta daripada jumlah keseluruhan sebagai nilai pelaburan demi mendapatkan kepercayaan.

“Kami ingin wujudkan kepercayaan kerana kami mahu diberi peluang untuk bertapak di Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Nithia bertanya kepada Azizi kerana tidak bersetuju dengan soalan yang dikemukakan Salehuddin, yang mencadangkan bahawa Ikhwan 'dipaksa' untuk menyerahkan balik komisen sebanyak RM9 juta tersebut.

Azizi: Saya bersama rakan niaga, Mazeed Abd Wahab bersetuju menerima hanya RM1 juta sebagai komisen dan bakinya RM9 juta diserah semula kerana kurang aktif dalam dalam proses penjualan MPHS kepada Felda pada tahun 2014.

Artikel Berkaitan:

Nithia: Kenapa?

Azizi: Saya percaya, peranan kami penting kerana jika bukan sebab kami buka jalan, penjualan ini tidak mungkin berlaku.

Untuk rekod, JVESB dilantik sebagai syarikat perunding hartanah dengan janji sekiranya dapat menjual hotel itu melebihi harga RM150 juta, JVESB boleh mendapatkan bakinya sebagai komisen.

Felda Investment Corporation (FIC) membeli Hotel Merdeka Palace di Kuching dengan harga RM160 juta.

Pada 18 Oktober lalu, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) FIC Mohd Zaid Abdul Jalil memberitahu mahkamah, Mohd Isa memintanya untuk meletakkan harga RM160 juta bagi pembelian hotel itu selepas mengambil kira 'goodwill' walaupun nilai pasaran hotel ditetapkan kepada RM153 juta sahaja.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Disember 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung hari ini.