'Larangan bawa masuk abu mayat Chin Peng keputusan Kabinet bukan saya'

Ahmad Zahid- Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ahmad Zahid- Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan larangan membawa pulang abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke Malaysia pada 2014 adalah keputusan Jemaah Menteri dan Kabinet.

Beliau berkata, pada 30 November 2014, kerajaan yang diperintah Barisan Nasional ketika itu sama sekali tidak membenarkan abu mayat mendiang Setiausaha Agung PKM itu dibawa balik ke negara ini.

“Itu bukan larangan saya pada tahun 2014 ketika saya menjadi Menteri Dalam Negeri.

“Saya hanya menyebutkan bahawa sebenarnya itu adalah keputusan Jemaah Menteri, Kabinet pada waktu itu,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, sewaktu zaman komunis, Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua telah menyebabkan ramai polis atau tentera yang terkorban.

Pada 23 September 2013, Ahmad Zahid turut menyatakan perkara sama dan menegaskan tindakan itu bagi mengelak individu atau pihak berkenaan membina memorial atau lain-lain yang seolah-olah mengiktiraf Chin Peng.

Tegas beliau, Chin Peng juga tidak pernah mengambil peluang untuk kembali ke negara ini sedangkan kerajaan menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menawarkan dua peluang kepadanya untuk berbuat demikian selepas Perjanjian Hatyai pada 2 Disember 1989.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu agungkan Chin Peng: Tuan Ibrahim

Artikel Berkaitan:

Semalam, tular laporan mendakwa abu mayat mendiang bekas pemimpin PKM itu dibawa pulang ke Perak pada 16 September lalu selepas enam tahun kematiannya.

Penyelaras kumpulan yang menguruskan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, berkata, mereka membawa pulang abu mayat mendiang Chin Peng dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu.

Menurutnya, mereka menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang pada hari yang sama abu mayat itu tiba di Ipoh.

Penularan berita itu mendapat respon negatif daripada warganet yang mengecam tindakan tersebut.