Nenek terlepas hukuman tali gantung

MARIA ELVIRA
MARIA ELVIRA
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang nenek warga Australia, Maria Elvira Pinto Exposto yang dijatuhi hukuman mati tahun lepas bagi kesalahan mengedar dadah terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan itu.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan Maria Elvira, 55, telah membuktikan dia tidak mempunyai pengetahuan mengenai dadah itu.

Beliau mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati Maria Elvira bersalah mengedar dadah methamphetamine seberat 1.1kg dan hukuman mati itu.

Hakim lain yang menganggotai panel itu adalah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Setia Mohd Zawawi Salleh, Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Nallini Pathmanathan.

Ibu kepada empat anak itu yang memakai blaus bunga warna ungu, kelihatan tenang dan tersenyum apabila mahkamah memutuskan keputusan tersebut.

Maria Elvira ditahan di terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 3.40 petang, 7 Disember 2014.

Pada Disember 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Maria Elvira. Bagaimanapun Mahkamah Rayuan pada tahun lepas membatalkan pembebasannya selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki (sekarang telah bersara) mensabitkan Maria Elvira atas kesalahan itu dan menjatuhkan hukuman mati terhadapnya menyebabkan wanita itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pembelaannya, Maria Elvira mendakwa dia ditipu agar membawa beg itu yang diserahkan kepadanya oleh seorang lelaki Afrika di Shanghai, China, yang meminta bantuannya untuk menyerahkan pakaian berkenaan sebagai hadiah Krismas kepada saudaranya di Melbourne.

Exposto diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi bertindak bagi pihak pendakwaan.

Anak lelaki Exposto, Hugo berkata, dia hanya mahu membawa ibunya pulang. Exposto menjalani hukuman penjara lima tahun di Malaysia. - Bernama