Pengerusi Eksekutif Kohama, isteri bebas tuduhan tipu RM5.36 juta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan Pengerusi Eksekutif Koperasi Hartanah Malaysia Berhad (Kohama), Datuk Jali Sekak dan isterinya, Nur Nadia Yusof atas pertuduhan menipu enam kontraktor berhubung Projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia membabitkan kerugian RM5.36 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Mabel S Muttiah membuat keputusan itu selepas saksi pendakwaan gagal membuktikan prima facie (keraguan yang munasabah).

Pada 22 Februari tahun lalu, Jali, 52, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin, Hakim Hilmiah Yusof, Hakim Azwarnida Affandi dan Hakim Mabel S Muttiah.

Turut didakwa bagi pertuduhan bersubahat dan menyalahgunakan wang membabitkan jumlah RM2.56 juta berhubung penipuan pembinaan rumah mampu milik yang tidak wujud itu ialah pensyarah sambilan, Datuk Dr Mohd Nasirudin Othman dan dua isteri Jali, Norhaizan Yahya, 45, dan Nur Nadia Yusof, 30.

Mengikut pertuduhan, Jali dan Mohd Nasirudin didakwa menipu enam kontraktor dengan memperdaya semua mangsa mempercayai bahawa projek Perumahan Pembinaan Rumah Mampu Milik 1Malaysia ditawarkan oleh Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Berhad (KPHPB).

Perbuatan mereka itu mendorong mangsa menyerahkan RM5,360,000 sebagai bayaran bon pelaksanaan untuk menjadi kontraktor projek perumahan itu yang mana mereka tidak akan menyerahkan wang jika tidak diperdaya sedemikian.

Pembinaan yang dikatakan akan dilaksanakan antaranya di Segamat, Johor, Kuantan Pahang, Manjung, Setiawan dan Bidor, Perak adalah tidak wujud.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Koperasi Putrajaya Berhad, Putra Heights, Subang Jaya antara September 2013 hingga Februari 2014.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nor Nadia didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan bersubahat dengan empat individu termasuk Jali dan Mohd Nasiruddin untuk melakukan penipuan sama sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan wang berjumlah RM1.2 juta kepada KPHPB sebagai bayaran bon pelaksanaan.

Jali dan Mohd Nasirudin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda manakala dakwaan terhadap Nor Nadia mengikut 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.

Nor Nadia turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham atas pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM700,000 milik Abdul Razak Nazri, 57, yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Pro Speed Resources miliknya.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Selain itu, Jali turut didakwa bersama-sama Nor Haizan dan Ahmad Sabki Ahmad Yusof, 48, atas pertuduhan sama menipu Mohd Fauzi Sail, 52, yang mendorong mangsa menyerahkan RM660,000 kepada KPHPB.