X

Kindly register in order to view this article
!

KKMM perkenal saluran baharu RTM tahun depan

Gobind
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memberi jaminan akan mewujudkan beberapa saluran baharu antaranya program berkaitan dokumentari, menerusi stesen penyiaran negara Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai tahun depan.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, saluran itu dijangka membantu kementerian mengenal pasti skop yang ingin dibawa khususnya program dokumentari yang berperanan membawa maklumat kepada rakyat di negara ini.

“Saya jamin mulai tahun depan kita akan umum beberapa saluran baharu di RTM.

“Kita (KKMM) sekarang lihat bagaimana program dokumentari yang ada tema tersendiri yang boleh diguna sebagai asas dalam membawa maklumat kepada rakyat. Ia penting dan sesuai untuk tambah mutu pengetahuan berkenaan isu tertentu,” katanya ketika sesi soal jawab pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Gobind berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) yang ingin tahu adakah KKMM menjalankan kajian dan menyediakan insentif khas bagi menggalakkan penerbit dokumentari tempatan menghasilkan program ilmu berbanding program hiburan seumpama drama atau filem seram dan cinta.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menyusun agenda penghasilan program dokumentari yang relevan kepada rakyat negara ini khususnya topik berkaitan teknologi.

“Kita (KKMM) mahu lihat bagaimana rakyat dapat memanfaatkan teknologi. Kemudian kita mahu lihat bagaimana mahu tonjolkan karya tempatan,” katanya.

Menjawab soalan asal Hasanuddin yang ingin tahu adakah KKMM mengkaji semula kadar bayaran kepada penerbit drama, cerekarama dan dokumentari, Gobind berkata kementerian melalui RTM telah memohon kajian kepada kadar tersebut dan kini diteliti Kementerian Kewangan.

“Kadar dicadangkan adalah peningkatan sebanyak 20 hingga 50 peratus mengikut kategori iaitu telefilem, drama bersiri, dokumentari/majalah, animasi bersiri, 'variety show' serta kapsul/trailer/promo. Cadangan ini adalah tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan,” katanya.

Mengenai langkah kementerian bagi membantu artis veteran kembali aktif, Gobind berkata, melalui persatuan berkaitan, perkara tersebut telah dibawa kepada pengetahuan beliau untuk tindakan selanjutnya.

“KKMM ambil perhatian serius perkara ini dan mahu pastikan mereka diberi peluang ambil bahagian dalam penghasilan karya-karya baharu. Ini kita panggil 'reform’. Itu antara dalam perhatian saya,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang meminta KKMM menyatakan langkah bagi membela nasib artis veteran. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus