Salahuddin nafi guna dana Nafas sewa hotel untuk PRK Tanjung Piai

Salahuddin Ayub- Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Salahuddin Ayub- Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub menafikan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) telah menggunakan sejumlah dana untuk sewaan hotel bagi tujuan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai baru-baru ini.

Menurutnya, mengikut rekod yang diterima, Nafas hanya membuat sewaan 38 bilik hotel bagi tujuan jerayawara bersempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2019 yang mana Johor merupakan tuan rumah.

“Sebenarnya ikut dokumen saya diterima, Nafas telah mengadakan satu roadshow (jerayawara) bersempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan yang kita telah sewa hotel itu sehingga 30 atau 31 Oktober.

“Selepas itu, kempen pilihan raya yang Nafas tidak terlibat. Roadshow itu diadakan di Simpang Renggam, Johor Bahru, Pontian, Benut dan seumpamanya dan Khamis ini merupakan Hari Peladang yang akan diadakan di Plaza Angsana Johor Bahru,” katanya semasa waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas-Rantau Panjang) yang ingin tahu dakwaan terdapat sewaan hotel di bawah nama Nafas semasa PRK Tanjung Piai.

Menjelas lanjut Salahuddin berkata, sekiranya benar berlaku penyelewengan, beliau meminta pihak berkenaan memberikan bukti dan melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar ia tidak menjadi fitnah.

Menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai dakwaan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Parlimen mengenai tender terbuka Nafas, Salahuddin berkata, proses permohonan kontrak Nafas masih belum dimuktamadkan.

Beliau berkata, ketika ini tidak ada satu syarikat yang boleh menunjukkan bukti telah menerima tender tersebut seperti yang didakwa sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai menteri setiap tahun termasuk menteri sebelum saya akan buat rayuan kepada perdana menteri untuk teruskan pembiayaan kepada Nafas dan apa yang saya lakukan baru-baru ini adalah proses tender terbuka itu masih belum dimuktamadkan.

“Maka jadi satu kewajipan saya terus berdiri untuk mendukung Nafas dan apa yang saya beritahu, apa yang saya lakukan ini mengikut prosedur dan peraturan demi perjuangan 920,000 lebih ahli peladang seluruh negara,” katanya.

Ka Siong sebelum ini mendakwa tiga kontrak bernilai lebih RM1 bilion dibatalkan selepas Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dikatakan mahu menganugerahkan projek kepada Nafas secara rundingan terus. - Bernama