'Syurga' beli-belah di Kelantan kian suram

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEJATUHAN Ringgit Malaysia berbanding Baht Thailand memberi kesan besar kepada perniagaan di Pekan Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor, Kelantan yang dahulunya terkenal sebagai syurga membeli-belah.

Perbezaan amat ketara. Kini nilai ringgit kita ialah RM1 bersamaan 7.25 baht membuatkan peniaga di dua pekan sempadan itu tidak mampu lagi untuk memborong barangan dari Selatan Thai seperti Golok dan Takbai. Dahulu, nilai ringgit RM1 bersamaan 8.07 baht.

Dua lokasi itu yang diiktiraf sebagai kawasan bebas cukai sehingga pernah menjadi ‘lubuk’ membeli-belah dilihat semakin suram sejak kebelakangan ini.

Lebih ketara kehadiran pengunjung dilihat berkurangan pada hujung minggu sekali gus membuatkan peniaga lebih banyak ‘berehat’ berbanding sebelum ini.

Bukan itu sahaja, bilangan pengunjung turut berkurangan pada hari-hari biasa sekali gus membuatkan pekan Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor bertambah ‘sunyi’.

Tidak menafikan situasi tersebut, Presiden Pertubuhan Infra Rakyat Rantau Panjang, Mohd Nashran Nasuha berkata, kejatuhan nilai ringgit menjadi punca kepada kemerosotan bilangan pengunjung ke pekan berkenaan.

Jelas beliau, kejatuhan nilai ringgit membuatkan barangan yang diimport dari Thailand terpaksa dinaikkan berbanding sebelum ini.

Bila harga barangan tidak seperti dahulu, pengguna tidak akan berbelanja maka pusat perniagaan yang terkenal dengan harga murah itu tidak lagi menjadi pilihan pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Malah, urusan keluar masuk dari Pekan Golok (Thailand) ke Rantau Panjang atau Takbai ke Pengkalan Kubor menjadi lengang apabila kurangnya urusan jual beli antara kedua-dua negara itu.

Bukan itu sahaja, sejak nilai ringgit makin turun, warga Thailand mula angkat kaki pulang negara mereka bagi mencari rezeki di sana pula.

Maka tinggallah peniaga menggigit jari, saban hari menanti pelanggan yang semakin susut. Mahu tidak mahu perniagaan kena diteruskan kerana ada sewa yang perlu dibayar dan ada kos yang mesti dilangsaikan.

Pastinya peniaga tidak putus-putus berdoa agar ada usaha dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menstabilkan kembali nilai ringgit kerana mata pencarian mereka terjejas teruk susulan situasi sekarang.