X

Kindly register in order to view this article
!

Kawal ketum: Kedah sokong pinda Akta Racun 1952

ISMAIL
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menyokong cadangan pindaan Akta Racun 1952 bagi mengawal penanaman, pemilikan dan pengedaran ketum memandangkan tanaman berkenaan dikhuatiri membawa kesan negatif kepada kesihatan.

Exco Kesihatan, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, pihaknya turut menyokong usaha menghapuskan tanaman ketum di negeri ini.

Menurutnya, menanam ketum akan menjadi satu kesalahan apabila cadangan pindaan Akta Racun 1952 diluluskan di Parlimen.

"Sebelum ini, usul berkaitan tanaman ketum sudah dibawa ke Parlimen pada 2015 namun ditolak kerana tidak lengkap.

"Di bawah Akta Racun 1952, aktiviti menanam ketum tidak salah sebaliknya hanya menjadi kesalahan apabila diambil dan diproses untuk tujuan lain.

"Namun, kita melihat ketum ini memiliki kesan negatif seperti dadah jenis heroin malah ia mampu memberi kerosakan sama kepada individu terlibat," katanya.

Menurutnya, pihaknya mendapati pengusaha ketum Kedah dan Perlis memberi sambutan positif cadangan pindaan akta itu dalam Majlis Dialog Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bersama mereka di Giat Mara Jerlun di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama katanya, kerajaan negeri akan terus memberi penerangan dan penjelasan kepada semua pihak berkaitan demi memberi gambaran berhubung perkara itu memandangkan ramai masih salah faham bahawa ketum memiliki kebaikan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kerajaan akan meminda Akta Racun 1952 (Akta 366) yang memperuntukkan larangan merangkumi kawalan ke atas tumbuhan psikoaktif, pokok ketum.

Pindaan itu akan memperuntukkan larangan ke atas aktiviti perdagangan, penanaman, pengimportan, pengeksportan, pembekalan, penjualan dan pemilikan pokok ketum.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus