Realisme PRK Tanjung Piai

A
A
A

POLITIK adalah sesuatu yang sangat menarik kerana pusingan perubahan yang berlaku dalam politik ‘sangat ganas’ dan sukar dijangka. Hari ini anda boleh berada di atas, beberapa minggu lagi anda mungkin sudah berada di bawah. Semalam anda dijulang, esok anda boleh dilanyak secukupnya.

Sejak 18 bulan lalu ramai orang memuji dan memuja kejayaan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 dan mengeji bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hari ini jumlah yang percaya kepada PH makin berkurangan dengan sangat banyak, manakala Barisan Nasional (BN) dan Pas mula mendapat sokongan rakyat. Malah, Najib yang berhadapan puluhan pertuduhan dan di pandang seperti ‘pariah’ politik 18 bulan lalu, kini mungkin sudah lebih popular daripada PH.

Populariti PH pada awal pentadbiran sangat jelas apabila mereka menang selesa dalam empat Pilihan Raya Kecil (PRK) terawal iaitu PRK Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan Port Dickson.

Walaupun keempat-empat kawasan itu merupakan kawasan PH dalam PRU14, namun kekalahan parti pembangkang secara berturut-turut ini mewujudkan pergolakan politik sehingga menyebabkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan percutian sementara.

Apabila mahkamah membuat keputusan kemenangan BN dalam PRU14 bagi Parlimen Cameron Highlands tidak sah, PH begitu yakin akan merampas kerusi tersebut. UMNO pula dalam keadaan tidak stabil dan sedang melalui proses pemulihan di bawah Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan yang memangku jawatan Presiden.

Dalam keadaan itu, BN membuat keputusan di luar kebiasaan dengan menamakan Ramli Mohd Noor sebagai calon. Pencalonan Ramli daripada masyarakat orang Asli yang bukan ahli UMNO pun ketika itu telah memberi perspektif baharu kepada parti yang dilihat sebagai ‘dinasour politik’ itu.

Kekalahan PH di Cameron Highlands sangat mengejutkan. Dengan kekuatan segala jentera kerajaan Persekutuan sehingga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri turun berkempen, PH masih gagal merampas kerusi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam PRK seterusnya BN merampas kerusi DUN Semenyih daripada parti Bersatu dan kemudiannya mengekalkan DUN Rantau yang diadakan pemilihan semula atas arahan mahkamah. Realiti

Tidak ramai pemerhati politik memberi peluang kepada BN untuk menang apabila parti tersebut membuat keputusan meletakkan calon daripada masyarakat Cina di kerusi majoriti Melayu.

Bagaimanapun, BN meneruskan kejutan apabila merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan mudah dengan memperoleh majoriti 15,086 undi.

Di sebalik kemenangan besar itu, realiti sebenar tidaklah sehebat digambarkan. Tiga calon teratas Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN) menerima 25,466 undi, Karmaine Sardini (PH) 10,380 undi dan Wendy Subramaniam (Gerakan) 1,707 undi.

Jelas di sebalik segala keputusan kerajaan yang meragukan, kegagalan menunaikan janji dan perbalahan dalaman PH, BN masih belum boleh mendabik dada mendapat sokongan kuat rakyat.

Jumlah keluar mengundi 74.5 peratus berbanding 88 peratus dalam PRU14 menunjukkan ada indikator lain perlu diambil kira oleh BN. Ini termasuk ketidakhadiran pengundi luar dan protes pengundi yang tidak berpuas hati dengan PH tetapi belum bersedia mengundi BN.

Dalam masa sama, terdapat perubahan pola undi masyarakat Cina kepada BN kerana faktor calon dan juga sentimen PRK. Pengundi masyarakat Cina juga mempunyai kecenderungan mengundi pembangkang dalam PRK.Oleh kerana politik sentiasa berhadapan pusaran ganas naik turun, BN harus mengambil kira persepsi pengundi atas pagar dalam berhadapan PRU akan datang. Jangan mudah menganggap kemenangan itu sebagai satu isyarat penerimaan rakyat kepada BN secara total.

Harus ada kaji selidik kebolehterimaan majoriti pengundi terhadap hala tuju, idea dan kepimpinan parti menjelang PRU akan datang. Pemimpin harus sedia berkorban untuk kemenangan parti bukan sebaliknya.

BN dan Muafakat Nasional ada peluang untuk mengambil alih pentadbiran negara dalam PRU15.

Namun masih banyak kerja dan perubahan perlu dilakukan jika mahu menang.

Pengundi masih dalam keadaan tunggu dan lihat terhadap perubahan dan komitmen baharu BN terutamanya UMNO. Kita menunggu sama ada UMNO sedar akan keperluan ini atau sekadar leka dibuai angin petang di Tanjung Piai.