Induk udang dari Panama dirampas di KLIA

206 induk udang putih yang diimport dari Panama, Amerika Syarikat dirampas.
206 induk udang putih yang diimport dari Panama, Amerika Syarikat dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 206 induk udang putih yang diimport dari Panama, Amerika Syarikat semasa pemeriksaan dilakukan di pintu masuk kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Pengarah Maqis Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, tindakan rampasan dibuat selepas pengimport gagal mengemukakan Surat Kebenaran untuk mengimport induk udang dari Jabatan Perikanan Malaysia ketika mengisytiharkan dokumen di Pejabat Maqis.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas dagangan mendapati terdapat tiga kotak mengandungi 206 ekor udang jenis panaeus vennamei yang dianggarkan bernilai RM25,731.60.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, kesemua udang di dalam bungkusan itu telah mati,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, tindakan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa mematuhi syarat permit import Maqis merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara ini bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan: