Realiti kerjaya doktor

A
A
A

SAYA percaya jika kita imbau zaman persekolahan terutama ketika di sekolah rendah, apabila cikgu bertanyakan soalan tentang cita-cita, ramai akan setuju antara jawapan yang paling popular adalah untuk menjadi seorang doktor.

Antara kerjaya lain yang menjadi pilihan juga biasanya anggota tentera, bomba dan tidak kurang juga yang memilih guru.

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi doktor, mereka perlu cemerlang dari peringkat SPM lagi.

Seterusnya, mereka perlu mendapat semua A di peringkat STPM atau Matrikulasi, juga Asasi Sains bagi universiti awam.

Walaupun setelah syarat-syarat ini dipenuhi, mereka masih perlu menghadiri temu duga.

Sekiranya berjaya mendapat tempat, bakal doktor perlu menyelesaikan pengajian selama lima tahun dan selepas itu pula melalui latihan amali di hospital kerajaan (housemanship) selama dua tahun.

Masih ada peperiksaan dan ujian yang perlu dilalui ketika latihan amali sebelum mereka boleh bergelar doktor dan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia.

Begitulah secara umumnya perjalanan yang perlu ditempuh untuk bergelar doktor perubatan.

Artikel Berkaitan:

“Best ke jadi doktor?”

Walaupun gaji doktor agak tinggi, banyak lagi profesion lain yang gajinya jauh lebih tinggi.

Pendapatan doktor yang bekerja di sektor swasta juga jauh lebih tinggi berbanding mereka yang berkhidmat di sektor awam, lebih-lebih lagi jika sudah bergelar pakar.

Bagaimanapun, masih ramai yang kekal di hospital dan klinik kerajaan kerana mereka ingin membantu rakyat yang berpendapatan rendah.

Bagi mereka yang pernah mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kerajaan atau melawat pesakit di hospital kerajaan, pasti mereka tahu akan keadaan hospital dan klinik yang sentiasa penuh dengan pesakit.

Adakalanya doktor terpaksa menahan keperluan untuk ke tandas mahupun makan atau minum, semata-mata bagi menghabiskan giliran pesakit yang menunggu untuk mendapatkan rawatan.

Kadangkala, agak ironi apabila doktor menasihatkan pesakit agar menjaga pemakanan tetapi mereka sendiri tidak terjaga makan dan minumnya kerana terlalu sibuk menguruskan pesakit serta menyiapkan tugasan yang lain.

Ada yang sekadar makan biskut untuk menghilangkan rasa lapar.

Begitulah pengorbanan seorang doktor yang mungkin tidak semua orang tahu.

Apa pun, bagi yang ikhlas menjadi doktor untuk membantu orang lain, mereka bersyukur dengan kerjaya mereka kerana di situ sentiasa ada ruang dan peluang yang secara tidak langsung mengingatkan mereka akan hakikat bahawa kesihatan itu amat bernilai dan apa jua gelaran mahupun jawatan yang disandang juga seberapa banyak pun harta yang dimiliki tiada maknanya sekiranya kita sakit apatah lagi jika diuji dengan sakit yang kritikal.

Mereka lebih menghargai kepuasan yang dikecapi dengan membantu golongan yang memerlukan dan menghargai kehidupan ini dengan sebenarnya. Mereka sering diingatkan bahawa manusia hanyalah hamba ALLAH yang lemah.

Walau apapun ikhtiar yang dilakukan, jika ajal sudah tiba, seseorang itu tetap akan pergi.

Baru-baru ini, masalah kekurangan doktor telah disuarakan di Parlimen.

Perkara ini tidak harus dipandang ringan. Kini terdapat kira-kira lapan juta pesakit setahun dan 41.3 peratus pesakit luar terpaksa menunggu selama enam jam di bahagian kecemasan disebabkan masalah kekurangan doktor.

Situasi kekurangan kakitangan di hospital dan klinik kerajaan ini berada di tahap yang serius akibat tiada penambahan jawatan bagi doktor, jururawat, pakar farmasi mahupun kakitangan lain.

Keadaan itu menyebabkan doktor sedia ada terpaksa bekerja lebih masa dan jururawat juga perlu bertugas dua syif.

Ditambah dengan pertambahan pesakit, peningkatan beban kerja ini akan menyebabkan keletihan melampau (burnout) ke atas kakitangan yang terbabit. Ini juga antara punca meningkatnya kekerapan on call bagi seseorang doktor.

Kementerian Kesihatan telah mengemukakan permohonan penambahan 10,675 jawatan di hospital dan klinik kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan kakitangan.

Semoga permohonan penambahan jawatan ini diluluskan oleh JPA dan diisi dengan segera demi keperluan rakyat.

* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan