Tiga lelaki pecah masuk kedai ditahan

Barangan yang dirampas daripada ketiga-tiga suspek tengah malam semalam.
Barangan yang dirampas daripada ketiga-tiga suspek tengah malam semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Tiga lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam beberapa kes pecah masuk kedai dan pejabat sekitar bandar ini tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua suspek ditahan pada jam 12 tengah malam di lokasi berasingan iaitu di Jalan Thean Teik, Jalan Air Itam dan Jalan Shaikh Eusoff.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek disyaki terlibat dalam empat kes pecah masuk kedai dan pejabat melibatkan kerugian ribuan ringgit.

"Polis merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memecah masuk premis antaranya dua pemotong, sebuah mesin pateri besi, dua lingkaran kabel peteri, sebuah mesin pemotong besi, sebuah mesin pemecah batu dan sebuah mesin pencanai.

"Turut dirampas, pakaian, topi keledar dan motosikal yang digunakan oleh suspek untuk melakukan jenayah tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, tangkapan suspek dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang pengurus syarikat yang mendapati kedai kereta terpakainya yang terletak di Jalan Masjid Negeri dipecah masuk.

"Pada Khamis lalu, kira-kira jam 10 pagi, pengurus syarikat berusia 35 tahun itu mendapati barang di belakang kedainya berselerak. Selepas diperiksa dia mendapati pintu belakang kedainya dipecahkan.

"Beberapa barangan turut hilang antaranya empat buah rim, sebuah mesin canai, sebuah mesin pemotong besi dan mesin pematri besi. Jumlah kerugian mangsa dianggarkan bernilai RM1,350," katanya.

Artikel Berkaitan:

Soffian berkata, pihaknya percayai dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan kedai sekitar daerah ini melalui penahanan ketiga-tiga suspek.

"Dua daripada mereka masing-masing mempunyai lima dan tiga rekod lampau melibatkan kes dadah dan jenayah

"Saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah dan mereka direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.