Bayi dicucuh puntung rokok

Kesan cucuhan puntung rokok pada bayi berkenaan.
Kesan cucuhan puntung rokok pada bayi berkenaan.
A
A
A

BATU GAJAH - Seorang bayi lelaki berusia setahun disyaki didera oleh datuknya sendiri berikutan penemuan kesan cucuh puntung rokok di bahu kanan dan perutnya.

Kejadian malang yang menimpa bayi tersebut disedari pegawai perubatan di Hospital Batu Gajah semasa dia dibawa oleh pengasuhnya ke hospital tersebut untuk mendapatkan suntikan imunisasi, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pegawai perubatan yang ingin memberi suntikan imunisasi kepada bayi tersebut melihat dua kesan terbakar di anggota tubuh mangsa.

"Pegawai perubatan berkenaan bertanya kepada pengasuh bayi itu dan pengasuh tersebut memaklumkan kesan cucuhan puntung rokok itu dilakukan oleh datuk bayi itu sendiri.

"Ketika kejadian, mangsa telah dijaga oleh suspek di rumah lelaki itu di Kampung Baru Batu 1, Tanjung Tualang pada Rabu lalu kerana pengasuh bayi tersebut menghadiri sesi pendaftaran persekolahan anaknya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya kejadian berlaku ketika suspek sedang menghisap rokok dan mahu menanggalkan pakaian bayi berkenaan kerana membuang air besar, tetapi rokok yang dihisapnya telah terkena bahu sebelah kanan sebelum terjatuh terselit pada lampin pakai buang dipakai mangsa.

"Selepas kejadian itu, suspek tidak membawa mangsa ke klinik atau hospital untuk rawatan dan hanya meletakkan kicap pada kesan terbakar itu," katanya.

Menurut Ahmad Adnan, bayi tersebut dijaga sepenuhnya oleh pengasuh sejak lahir kerana ibu bapanya sedang menjalani hukuman di Penjara Tapah atas kesalahan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Ekoran laporan oleh pegawai perubatan hospital, kita telah menangkap suspek berusia 47 tahun pada hari sama untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Lelaki yang ditahan reman sehingga esok itu didapati mempunyai empat rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah namun ujian urin yang dilakukan ke atasnya didapati negatif," katanya.

Bayi malang itu kini dirujuk di Hopsital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk rawatan lanjut.