LPP komited bangunkan Stong

Mazlan (depan, kiri) bersama wakil agensi dan peserta kursus yang diadakan di Dewan Gunung Stong Resort di sini semalam.
Mazlan (depan, kiri) bersama wakil agensi dan peserta kursus yang diadakan di Dewan Gunung Stong Resort di sini semalam.
A
A
A

KUALA KRAI - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mengenal pasti dua fokus utama dalam membangunkan kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Stong di sini.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, dua keutamaan itu merangkumi projek jangka masa panjang dan pendek yang mampu memberi pulangan lumayan.

Katanya, projek fertigasi merupakan projek jangka pendek yang menguntungkan dan boleh dipasarkan secara meluas melalui hasil pertanian yang diusahakan.

Tambah beliau, Stong juga dilihat sebagai satu kawasan berpotensi dalam pembangunan ecopelancongan dan boleh menjadi projek jangka panjang PPK tersebut.

"Saya bersetuju dengan pelan PPK Stong dalam dua perkara ini yang dilihat mampu menjadikan kawasan berkenaan dibangunkan sebaiknya memandangkan ia masih terpelihara dari aspek keaslian dan persekitaran.

"Dari segi pemasaran fertigasi, kita akan bantu memasarkan hasil-hasil pertanian. Saya akan berbincang dengan pelbagai pihak bagi memastikan Stong dapat dibangunkan sewajarnya.

"Meskipun ia berada di kawasan pedalaman, namun dengan kemudahan yang ada seperti perkhidmatan kereta api dan infrastruktur, ia dapat menarik kehadiran pelancong asing terutamanya ke kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Pemantapan Industri Walit di Dewan Gunung Stong Resort di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Kursus berkenaan disertai 50 peserta di kalangan pengusaha sarang burung walit dari tiga PPK iaitu PPK Stong, PPK Lembah Pergau dan PPK Jeli.