Kod etika ahli Parlimen fokus utama Wan Junaidi

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen. - Foto Bernama
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang baharu dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara, meletakkan keutamaan dalam melaksanakan kod etika Ahli Parlimen bagi menambah baik cabang legislatif dalam pentadbiran negara.

Wan Junaidi berkata, sebelum ini beliau telah memperkenalkan kod etika ahli Parlimen kerana berpandangan tugas ahli Parlimen sepatutnya bukan untuk bergaduh di dalam Dewan dan berpolitik secara berlebihan sebaliknya mereka menggalas tanggungjawab besar.

Beliau yang berucap selepas mengangkat sumpah jawatan itu berkata, kod etika berkenaan penting memandangkan negara lain seperti India, Australia dan New Zealand juga mempunyai kod etika tertentu.

Menurut Wan Junaidi, kod etika itu telah digubal pada 2011 dan berharap sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman dalam pelaksanaan kod etika tersebut.

"Ini kerana keutamaan itu juga Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) perlu kita tumpu, sebab ini adalah satu wawasan kerajaan dari dahulu lagi... dengan harapan kita boleh laksanakannya pada penggal ini juga sebagai legasi kerajaan dan Parlimen pada semua rakyat Malaysia," katanya.

Selain itu, Wan Junaidi berkata, beliau juga akan menumpukan kepada pelaksanaan pengenalan semula Akta Pentadbiran Parlimen, menggubal atau meminda Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 serta meminda Peraturan-peraturan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi memperkasakan peranan jawatankuasa-jawatankuasa di Parlimen dalam usaha mentransformasi institusi itu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Anwar yang mencadangkan pencalonan beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Negara dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang telah menyampaikan pesan daripada Anwar kepadanya secara peribadi pada 13 Jun lepas.

Katanya, walaupun beliau telah mengumumkan untuk bersara dalam bidang politik dan perkhidmatan kerajaan sebelum ini, 'panggilan' untuk berkhidmat kepada negara lebih penting. - Bernama.