IWK ambil alih 206 loji rawatan air sisa di Johor

Xavier
Xavier
A
A
A

JOHOR BAHRU - Syarikat perkhidmatan pembetungan nasional, Indah Water Konsortium Sdn Bdh (IWK) akan mengambil alih 206 loji rawatan air sisa di Johor Bahru dan Pasir Gudang daripada kerajaan Johor pada suku pertama tahun hadapan.

Pengambilalihan itu susulan persetujuan kerajaan negeri untuk menyerahkan perkhidmatan pembetungan awam di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) kepada IWK bagi tujuan operasi dan penyelenggaraan sistem pembetungan di kawasan berkenaan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr A Xavier Jayakumar berkata, persetujuan itu dinyatakan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal kepada pihak Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KTAS) pada 18 November lepas.

“Beliau (Dr Sahruddin) menyatakan bahawa kerajaan Johor tiada halangan untuk IWK mengambil alih dan menjalankan perkhidmatan pembetungan di Johor Bahru dan Pasir Gudang,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Dengan pengambilalihan itu bermakna keseluruhan perkhidmatan pembetungan awam di kawasan Johor Bahru dan Pasir Gudang adalah di bawah seliaan dan selenggaraan IWK sepenuhnya.

“Proses pengambilalihan akan dilakukan dan diselaraskan bersama-sama dengan anak syarikat kerajaan Johor iaitu Johor Special Water Sdn Bhd (JSW) dan Permodalan Darul Takzim Sdn Bhd (PDT) dengan anggaran dilaksanakan pada suku pertama tahun 2020.

“Pengambilalihan ini penting bagi memastikan perkhidmatan pembetungan yang baik dan lebih cekap dapat dijalankan di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan memantau kesemua proses pengambilalihan agar ia dapat berjalan lancar dan tidak mengganggu perkhidmatan pembetungan kepada pengguna di Johor Bahru dan Pasir Gudang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Xavier juga berkata, IWK akan memerlukan tempoh sekitar 24 bulan untuk membaiki dan menaik taraf sebahagian daripada loji itu bagi mencapai tahap operasi yang sepatutnya serta memenuhi piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Beliau juga berkata, kerajaan Persekutuan juga akan meneliti potensi untuk melaksanakan pusat pemulihan semula air kumbahan sebagai sumber baharu air bukan minuman, di samping akan membantu Kerajaan Negeri melaksanakan Loji Rawatan Kumbahan Serantau.

Ini kerana buat masa kini, kawasan Johor Selatan mempunyai kurang daripada lima peratus rizab air, oleh itu kepakaran IWK dalam merawat air kumbahan untuk tujuan sumber baharu air adalah sangat diperlukan di kawasan berkenaan. - Bernama